KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap perlawanan pramusim menentang Perak pada saingan merebut kejuaraan edisi kedua Unity Shield di Stadium Perak, Ipoh malam ini sebagai persiapan terbaik menjelang aksi Liga Super pada 28 Februari ini.
Pemain senior Kedah berusia 32 tahun itu berkata, tiada laluan mudah untuk skuad Lang Merah yang ingin mengulangi kejayaan menjulang trofi Unity Shield musim 2019.
“Bagi saya beraksi di Ipoh kali ini satu cabaran hebat sebab Perak menjadi tuan rumah dan kami perlu berusaha gigih untuk mengekalkan kejayaan pada tahun ini.
“Selepas mendapat kemenangan 2-0 pada edisi pertama tahun lalu, pastinya kami akan berusaha mengekalkan kemenangan itu di tempat lawan walaupun kami sedar ia cabaran besar.
“Kami juga sedar penyokong meletakkan harapan tinggi kepada kami pada musim ini, dan ini satu lagi cabaran yang kami anggap sebagai motivasi untuk kami maju lebih ke hadapan,” katanya.
Baddrol berkata, saingan itu juga boleh dijadikan medan mencari keserasian dalam kalangan rakan sepasukan menjelang musim baharu.
“Ini perlawanan sesuai untuk membentuk gandingan utama sebelum aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim di Johor Bahru, hujung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi jaminan tahap keselamatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang bakal menjadi gelanggang rasmi pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini terjamin.
Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim ketika sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Pasukan TFC, TFC II, TFC III dan TFC IV di Dataran Pantai Batu Buruk, petang kelmarin.
Beliau turut menyatakan ‘lampu hijau’ untuk menggunakan stadium itu juga sudah diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebelum ini dan baginya tidak timbul perkara berbangkit mengenai stadium itu yang kali terakhir digunakan pada awal musim 2017 sebelum berpindah ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Berkaitan Sijil Layak Menduduki (CF) kita ambil pakai kebenaran untuk menggunakan stadium itu (SSMZA) yang dulu, cuma faktor padang prosesnya ada pada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pada 18 Februari ini MFL akan datang ke stadium itu untuk membuat semakan, jadi kita rasa tidak ada sebarang masalah buat masa ini.
“Tahap keselamatan juga kita guna pakai kebenaran yang lepas, lagipun JKR negeri juga sudah memberi jaminan dari segi sudut keselamatan, jadi isu itu tidak berbangkit sebab sebelum inipun kita sudah beraksi di stadium berkenaan, cuma disebabkan masalah padang kita tidak meneruskan aksi ketika itu.
“Jaminan daripada JKR itu diberikan semasa dibenarkan pasukan beraksi sebelum masalah padang iaitu pada tahun 2017, jadi sama saja keadaan itu, sebelum inipun tidak ada bumbung, begitu juga sekarang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan