PIALA FA 2020: NLFC-MAHSA BUATKAN HARINI KECEWA
Kelab yang berpengkalan dari Perlis, Northern Lions Football Club (NLFC)-MAHSA meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala FA selepas menyingkirkan Harini KS FC 1-0 di Stadium UPM, Serdang pada Sabtu.
Jaringan tunggal pemain tengah, Khairul Affandi Azaimi pada minit-27 sudah cukup memastikan NLFC-MAHSA untuk bergelar pemenang ke atas Harini KS FC dalam aksi yang cukup sengit dan mendebarkan.
Harini KS FC yang menguasai sebahagian besar permainan terlepas peluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada babak kedua yang gagal disempurnakan Metha Apingi Viblo.
Ketua jurulatih NLFC-MAHSA, Azamri Zali, memberikan pujian terhadap semangat juang yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya walaupun turun tanpa kelibat bintang utama, Faiz Subri yang mengalami kecederaan.
"Saya tahu kami berdepan lawan yang punyai reputasi besar kerana memiliki ramai berpengalaman namun selepas 20 minit permainan,saya tahu kami boleh menang pada aksi hari ini.
"Disiplin serta semangat juang dipamerkan pemain-pemain cukup terpuji dan saya bangga terhadap apa mereka pamerkan.
"Kami meletakkan matlamat untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir Piala FA dan perkara itu boleh menjadi satu sejarah besar jika NLFC-MAHSA mampu melakukannya," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Harini KS FC, Dusan Momcilovic, merasakan faktor tuah tidak menyebelahi pasukannya walaupun mereka telah mempamerkan prestasi yang baik berbanding lawan.
"Ada kalanya perkara ini terjadi dalam bola sepak, kami telah bermain mengikut apa yang dihendaki tetapi tuah tidak bersama kami.
"Kekalahan ini tidak akan mengganggu perancangan utama dalam menghadapi saingan di Liga M3 malah masih yakin dengan barisan pemain yang saya miliki setakat ini," katanya.
Lima perlawanan lain turut berlangsung pada hari Sabtu yang memperlihatkan semua pasukan meraih kemenangan selesa terhadap lawan masing-masing.
Ledakan empat gol Faiz Ibrahim (minit 8, 40, 50 dan 69) membantu Armed Forces FC (AFFC) menjadi pasukan paling besar meraih kemenangan melalui keputusan 8-0 mengatasi SA United FC di Padang Stadium Mini Mindef, Kuala Lumpur.
Rafizol Roslan meledak dua jaringan pada minit 53 dan 86 selain satu gol masing-masing oleh Venice Elphi (minit-21) dan Norfaree Imaidi Mohd Noor(minit-60).
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Rovers (KT Rovers) tidak berdepan banyak masalah apabila menang 4-1 berdepan Thai Selangor FC.
Azuhal Aiman membuka tirai jaringan pada minit ke-6 sebelum Hakimi Mazalan menggandakan kelebihan tiga belas minit kemudian.
Thai Selangor merapatkan jurang sebelum babak pertama berakhir menerusi Izarudin Hashim namun KT Rovers terus mengukuhkan kedudukan pada separuh masa kedua hasil dua gol Hakimi Nuwawi (minit-58) dan Saiful Nizam Abdullah (minit-79).
Protap FC mengulangi pencapaian musim lalu untuk mara ke pusingan kedua apabila menang 4-0 berdepan wakil dari Terengganu, Nor Farhan FC di Stadium Mini MMU, Cyberjaya.
Najib Abdullah meletakkan Protap FC mendahului dua gol di hadapan pada separuh masa pertama pada minit ke-3 dan 42 sebelum Ammar Ruslan menambah gol ketiga pada minit-58 diikuti Rahizi Rasib, minit-62.
SSFC menjadi antara wakil Liga M4 yang layak apabila meraih kemenangan besar 5-1 berdepan Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson.
Syathori Awang menjadi pemusnah lawan apabila meledak hatrik dengan jaringan pada minit 23, 41 dan 80 selain dibantu gol daripada Abdul Azfar Abdul Rohani pada minit-27 dan Munawir Mohd Zain, yang meledak gol kelima pasukan, lima minit sebelum permainan berakhir.
Gol saguhati Kickers FC disumbangkan Nurakmal Abdul Latip pada minit-26.
Wakil dari Liga Alumni, Kuatagh FC turut berjaya mengikuti jejak langkah SSFC hasil keputusan 6-1 ke atas Tun Razak City FC di Padang Pulapol, KL.
Amin Sulaiman membuka tirai jaringan pada minit-16 sebelum dua minit kemudian, Helmi Ropaii menambah gol kedua buat Kuatagh FC.
Pada minit-40, Nur Rizzham Norman meledak gol ketiga buat Kuatagh sebelum Tun Razak City meraih gol pertama, tiga minit permulaan babak kedua melalui Farhan Abdul Hamid.
Bagaimanapun,tiga gol daripada Reno Rinaldi (minit-53), Nur Rizzmie Norman (minit-73) dan Amin Syazwan Halim (minit-75) memastikan kejayaan besar buat Kuatagh FC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan