
WALAUPUN dilihat mungkin tidak boleh pergi ‘jauh’ namun Kuala Perlis FC sedia memberi cabaran kepada skuad lebih elit atau bertaraf gergasi dalam saingan kelayakan Piala FA nanti.
Pengurus Kuala Perlis FC, Shahril Hadfizal Halimin berkata, pasukan yang berpengkalan di Perlis itu membuat persiapan rapi bagi memastikan anak buahnya mampu memberi saingan pasukan terbabit.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terus mengangkat bendera putih dan memberi amaran akan memberi tentangan sengit walaupun mengetahui pasukan lain berada pada level lebih baik daripada mereka.
“Kita melakukan persiapan supaya tidak menjadi pasukan belasahan malah bercita-cita mahu melakukan kejutan menentang skuad yang lebih kuat nanti.
“Seperti sedia maklum, sudah tentu Kuala Perlis FC kekurangan dana termasuk penajaan namun itu antara cabaran yang harus diatasi bagi meraih kejayaan pada masa akan datang,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Kuala Perlis FC antara 40 pasukan amatur yang akan bersaing merebut slot untuk dalam saingan Piala FA untuk musim 2020.
Pada undian kelayakan Piala FA sebelum ini Kuala Perlis FC diundi berdepan Harini FC.
Liga Amatur Malaysia (AFL) pada tahun ini membuka peluang kepada pasukan bertaraf amatur untuk turut sama bersaing merebut Piala FA sekali gus bakal menyaksikan lebih ramai bintang muda digilap pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan