
Jadual pusingan kedua saingan Piala FA. - NSTP/Ihsan MFL
KUALA LUMPUR: Aksi pusingan kedua Piala FA 2020 menjanjikan pertembungan menarik selepas dua pasukan ‘heavyweight’ dalam kancah bola sepak tempatan diundi bertemu sesama sendiri.
Pada majlis undian yang berlangsung di Kota Damansara itu, penyandang juara Piala FA, Kedah akan berdepan juara Piala FA 2018, Pahang dengan kali terakhir pertemuan dua pasukan itu menyaksikan skuad Lang Merah menewaskan Pahang 8-8 secara agregat pada aksi separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Sementara itu, naib juara musim lalu, Perak tampak tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila diundi bertemu pasukan amatur, KT Rovers sementara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga boleh dianggap sebelah kaki layak ke pusingan ketiga selepas bertemu satu lagi pasukan amatur, KL Rovers.
Selain itu, beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana disifatkan bernasib baik selepas hanya berdepan cabaran pasukan amatur antaranya Melaka menentang Langkawi City FC, PJ City bertemu Imigresen FC, Kelantan menentang Protap FC, NLFC MAHSA bertemu PDRM dan UKM FC menentang SSFC.
Dalam perkembangan sama, Shopee terus menghangatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas memperbaharui kerjasamanya dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai Pasaran Atas Talian Eksklusif Rasmi buat tahun ketiga.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin jelas mengalu-alukan penajaan atas nama merancakkan industri bola sepak tempatan.
“Saya yakin kehadiran Shopee di seluruh negara dan manfaat baharu daripada kerjasama kami akan membantu perkembangan bola sepak. Kami mengharapkan momentum pertumbuhan ini dapat dikekalkan,” kata Hamidin.
“Bagi pihak MFL, kami amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini bersama Shopee. Adalah menjadi harapan kami supaya lebih banyak organisasi di Malaysia akan berminat untuk mengikuti jejak langkah ini dan menyokong pasukan bola sepak tempatan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan