
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin (dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan (dua dari kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif TM Multi-Media, Moharmustaqeem dan diperhatikan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Izlyn Ramli (dari kiri) pada Majlis tandatangan perjanjian penajaan Liga M antara MFL dan TNM. Kristal Hall 2, TM Convention Centre, Jalan Pantai Baharu, semalam. - Foto Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertegas enggan mendedahkan jumlah sebenar tajaan tiga tahun Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam Liga Malaysia (Liga M).
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi menghormati perjanjian dipersetujui dengan penaja utama Piala Malaysia itu.
"Jumlah kita tak boleh umumkan, tapi rakan kongsi (pasukan bertanding) semua akan tahu dan itu memang antara perjanjian kita dengan TM," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan MFL, di sini, semalam.
MFL dan TM sebelum ini mencetuskan kontroversi yang menyaksikan badan pentadbir Liga M itu menamatkan kontrak perjanjian pada Mac tahun lalu selepas syarikat telekomunikasi itu didakwa melanggar kontrak perjanjian lapan tahun ditandatangani bermula 2018 dengan jumlah kira-kira RM480 juta.
Susulan daripada itu, MFL memfailkan saman melebihi RM400 juta terhadap TM, namun badan pentadbir Liga M itu menarik balik saman berkenaan pada Oktober tahun lalu.
Hamidin bagaimanpun enggan mengingati sejarah pahit itu, sebaliknya menganggap kehadiran semua TM sebagai penaja musim ini akan meningkatkan lagi nilai komersial Liga M.
"Saya tak nak bercerita masa lampau, kita jadikan ia tauladan dan pedoman, tapi saya yakin dengan era baharu ini dan kedua-dua pihak akan pandang ke depan untuk memajukan bola sepak negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM Multimedia, Moharmustaqeem Mohammed berkata: “Salah satu faktor yang membolehkan TM membuat keputusan kembali aktif dengan MFL kerana bola sepak tempatan salah satu rancangan tertinggi ditonton pelanggan unifi TV.
“Ia menjadi salah satu aspirasi kami untuk menyiarkan bola sepak tempatan kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan