
Hamidin (dua dari kanan) ketika sidang media pada majlis tandatangan perjanjian penajaan Liga M antara MFL dan TM di Kuala Lumpur, kelmarin. - NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mungkin boleh dianggap ‘hero’ bola sepak negara selepas Telekom Malaysia Berhad (TM) ‘merujuk semula’ dengan badan pengendali liga itu berhubung isu penajaan Liga Malaysia (Liga M).
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa melihat kerjasama kembali terjalin antara dua pihak yang pernah ‘bercerai’ sebelum ini mencerminkan kepercayaan penuh syarikat telekomunikasi itu kepada pengurusan baharu organisasi itu yang kini diterajui Hamidin.
Jelasnya, penajaan diberikan TM juga secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi prestij pertandingan Liga M sekali gus memberi sinar positif kepada saingan bola sepak tempatan.
“Tidak mudah untuk mendapatkan penajaan dalam keadaan ekonomi tidak begitu menentu ketika ini namun atas kebijaksanaan Hamidin sebagai ‘wisdom leader’ yang dilihat lebih terbuka dan profesional, aspek ini mungkin antara kunci kepada kejayaan kerjasama antara TM dengan MFL.
“Kita boleh anggap tajaan ini sebagai satu pengiktirafan daripada badan korporat kepada organisasi sukan seperti MFL. Sudah tentu perkembangan ini dapat membantu pasukan menjadi lebih baik.
“Namun pasukan juga perlu beringat supaya dapat menggunakan dana diberikan supaya lebih strategik. Contohnya bagi memperkemas pentadbiran ataupun fokus kepada pembangunan akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain untuk masa depan,” katanya.
Terdahulu, teka teki mengenai TM akan kembali menaja Liga M terjawab selepas syarikat telekomunikasi itu sah menandatangani kontrak penajaan bersama MFL, Jumaat lalu.
TM akan menjadi penaja utama bagi saingan Piala Malaysia dan sebagai penaja bersama untuk Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Cabaran dengan kontrak perjanjian tiga tahun tidak didedahkan jumlahnya.
Sebagai rekod, kedua dua entiti itu ‘bercerai’ apabila badan pengendali liga mengambil keputusan memutuskan kerjasama dengan TM demi kelangsungan bola sepak negara pada Mac tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat kata sepakat Ahli Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL ketika itu iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan