Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata kembalinya Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja Liga Malaysia pada musim ini adalah kerana keyakinan syarikat telekomunikasi negara itu terhadap organisasi yang dipimpin oleh Datuk Hamidin Mohd Amin.
Datuk Hamidin Mohd Amin merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Presiden Malaysian Football League (MFL) – dua badan utama yang melakukan urus tadbir bola sepak negara.
Menurut Sadek, kehadiran TM sebagai penaja pasti dapat membantu meningkatkan prestij saingan bola sepak negara itu sekali gus memberi sinar baharu kepada saingan bola sepak di dalam negara.
“Tidak mudah untuk mendapatkan penajaan dalam keadaan ekonomi tidak begitu menentu ketika ini namun atas kebijaksanaan Hamidin sebagai ‘wisdom leader’ yang dilihat lebih terbuka dan profesional, kata beliau kepada Berita Harian.
“Aspek ini mungkin antara kunci kepada kejayaan kerjasama antara TM dengan MFL.
“Kita boleh anggap tajaan ini sebagai satu pengiktirafan daripada badan korporat kepada organisasi sukan seperti MFL. Sudah tentu perkembangan ini dapat membantu pasukan menjadi lebih baik.
“Namun pasukan juga perlu beringat supaya dapat menggunakan dana diberikan supaya lebih strategik. Contohnya bagi memperkemas pentadbiran ataupun fokus kepada pembangunan akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain untuk masa depan,” katanya.
Pada Jumaat lalu TM diumumkan sebagai penaja utama bagi saingan Piala Malaysia dan sebagai penaja bersama untuk Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Cabaran dengan kontrak perjanjian tiga tahun tidak didedahkan jumlahnya.
TM sebelum ini menarik diri selaku penaja utama saingan Liga Malaysia sebelum sepak mula saingan pada musim lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan