Kehadiran CIMB, TM stabilkan kewangan pasukan liga Malaysia
Kehadiran CIMB dan Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama Liga Malaysia dijangka memberikan kestabilan kewangan terhadap semua pasukan, selepas saban tahun digelumang dengan isu tunggakan gaji pemain dan masalah kewangan pasukan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata tidak semua pasukan atau kelab mampu mencari penaja sebelum ini, namun nasib mereka bakal berubah dengan kehadiran TM dan CIMB.
“Selalunya apabila ada penaja daripada syarikat-syarikat besar yang terlibat dengan MFL, secara tidak langsung memberi tempias yang baik untuk pasukan juga.
“Kerana ada sesetengah kelab dan pasukan ini ketandusan penaja, jadi dengan adanya TM dan CIMB yang menjadi penaja MFL setakat ini, saya percaya akan ada juga penaja lain yang berminat bantu pasukan.
“Dengan kewangan yang stabil, saya yakin prestasi pemain dan pasukan akan bertambah baik sepanjang musim.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon pula menganggap bukan mudah untuk sesebuah liga mendapatkan penaja terbaik apatah lagi sebelum ini MFL berdepan banyak kekangan untuk menamatkan musim 2019, namun TM dan CIMB memberi petanda cerah untuk memulakan musim 2020 dengan baik.
“Bagi kami di FAS, CIMB telah mengambil langkah yang sangat penting untuk sukan bolasepak dan ternyata, mereka inginkan jenama CIMB ini terus berkembang bersama bolasepak Malaysia.
“Memang MFL dan barisan penaja tidak mendedahkan jumlah sebenar tajaan kepada semua pihak, tapi untuk kami sebagai rakan kongsi, kami tidak berminat untuk jadikan ia sebagai isu kerana yang penting, kami dimaklumkan mengenai jumlah terbabit.
“Berapa pun jumlahnya, kita patut lihat daripada aspek positif kerana apabila saingan liga semakin membangun, jumlah sesebuah tajaan itu pasti akan meningkat dan saya lebih berminat untuk tahu bagaimana pasukan dan MFL sendiri berusaha untuk Liga Malaysia lebih rancak dan menarik.”
Musim ini, Melaka United, Kelantan dan PDRM berdepan hukuman pemotongan mata, namun hanya PDRM yang dipotong tiga mata apabila gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan