
Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam. - NSTP/Mahzir Mat Isa
KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan terlepas peluang untuk aksi pemanas badan sebelum mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 apabila perlawanan menentang Bahrain terpaksa dibatalkan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataannya hari ini mengesahkan perkembangan itu dengan pembatalan perlawanan itu berpunca daripada sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia susulan penularan wabak COVID-19.
“Kerajaan Bahrain pada Jumaat lalu (21 Februari 2020) mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.
“Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA) Ebrahim Saad Al Buainain memaklumkan kepada FAM menerusi satu surat hari ini bahawa pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan itu berikutan arahan yang dikeluarkan Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara terbabit.
“FAM menerima secara terbuka pembatalan aksi bertemu Bahrain ini dan akan melakukan pelan alternatif bagi penyediaan pasukan menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Perkembangan terkini mengenai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Stuart.
Sebagai rekod, Malaysia sepatutnya beraksi menentang Bahrain di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain pada 21 Mac ini.
Selepas itu, mereka akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac sebelum menentang Vietnam pada 31 Mac di laman sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan