![PENYOKONG Harimau Malaya menggamatkan perlawanan persahabatan](https://www.utusan.com.my/polopoly_fs/1.963711.1567290717!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_620/image.jpg)
PENYOKONG Harimau Malaya menggamatkan perlawanan persahabatan Malaysia menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Jordan mungkin menang dalam perlawanan persahabatan ke atas Malaysia kelmarin, namun pengendalinya, Vital Borkelmans mengakui, suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil benar-benar ‘menggerunkan’ dan membuatkan dia terkesima seketika.
Jurulatih kelahiran Belgium itu tidak banyak berbicara tentang kemenangan 1-0 yang dilakar anak-anak buahnya kerana terlalu kagum dengan suasana di Bukit Jalil yang diyakini akan memberi masalah besar kepada empat lawan yang bakal ditentang Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Selain Emiriah Arab Bersatu (UAE), tiga lagi pasukan yang diletak dalam Kumpulan G bersama Malaysia adalah lawan yang cukup ‘dekat’ dengan penyokong Harimau Malaya iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia.
“Saya bergelar pemain bola sepak dalam tempoh yang cukup lama malah pernah bekerja dengan skuad kebangsaan Belgium bagaimanapun saya ingin memberi pujian kepada penyokong Malaysia.
“Apa yang saya lihat cukup menakjubkan. Mereka berterusan memberi sokongan kepada pemain tanpa mengenal erti rasa penat.
“Pujian perlu diberikan kepada mereka (penyokong). Saya boleh tengok mereka bersorak selama satu jam dan semestinya saya suka dengan sorakan itu. Anda mempunyai sokongan besar peminat,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil, semalam.
Apa yang diaksikan Borkelmans itu sebenarnya tidak sampai separuh daripada kekuatan ‘pemain ke-12’ Harimau Malaya kerana hanya 14,063 penonton hadir menyaksikan perlawanan sedangkan Stadium Nasional mampu menampung sehingga 90,000 penyokong.
Thailand, Vietnam serta Indonesia pernah merasai suasana beraksi dalam stadium yang dibanjiri penyokong, malah kehadiran kumpulan ‘Ultras Malaya’ benar-benar menghidupkan suasana.
Dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jordan diletak dalam Kumpulan B bersama Australia, Taiwan, Kuwait dan Nepal. Jordan bertandang ke Taiwan pada 5 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan