OSAKA, Jepun 13 Ogos -Bukan mahu mendabik dada, namun lima pemain yang mewakili Malaysia dalam Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 bersama Akademi Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka, Sabtu lalu lebih berkualiti berbanding dua lagi negara peserta, Thailand dan Myanmar.
Walaupun skuad ADP tumpas 0-2 dalam perlawanan ujian menentang Akademi Cerezo, namun persembahan yang dipamerkan ‘ubi’ muda Malaysia berjaya menarik tumpuan barisan kejurulatihan kelab Jepun itu.
Keputusan akhir siapa bakal dipilih untuk diserap dalam Cerezo dijangka diketahui selewat-lewatnya tiga bulan dari sekarang, namun melihat kepada prestasi yang ditunjukkan kesemua pemain pada Sabtu lalu, peluang untuk wakil Malaysia ‘lekat’ dalam pemilihan amat cerah.
“Bagi saya memang ada jurang perbezaan dan pemain Malaysia nampak lebih bagus berbanding Thailand serta Myanmar. Daripada segi teknikal kita lebih baik, selain mudah mendapatkan persefahaman antara satu sama lain.
“Lebih mencabar buat mereka (pemain Thailand dan Myanmar), kebanyakannya tidak faham apa yang dimahukan.
"Banyak perkara yang kami pelajari di sini terutamaa daripada segi budaya berjuang untuk pasukan yang boleh dibawa pulang ke Malaysia selepas ini,” kata Raja Haikarl Raja Zahari, salah seorang daripada lima peserta ADP Malaysia.
Raja Haikarl, 15, yang merupakan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkata, punca utama skuad ADP kalah kepada Akademi Cerezo adalah kegagalan mereka untuk menyesuaikan diri dengan jentera Thailand dan Myanmar.
Empat pemain lain yang turut terpilih bagi memperagakan aksi di Jepun ialah Danial Haiqal Shaipol, Afiq Norizan, Farizzudin Adham Batcha, Anas Nadawi Shaharudin, sebelum bergabung dengan lima lagi jentera masing-masing dari Thailand dan Myanmar untuk membentuk skuad ADP 2019.
Projek yang memasuki esisi kedua itu adalah anjuran Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., bersama Cerezo dan stesen televisyen Osaka bagi mencungkil bakat muda Malaysia, Thailand dan Myanmar.
Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada mengakui, Cerezo amat kagum dengan prestasi yang dipamerkan kesemua lima pemain negara berusia bawah 15 tahun tersebut, dan menyifatkan kesemua mereka berpotensi untuk menjadi pemain profesional.
“Jurulatih Cerezo kagum dan memuji persembahan pemain Malaysia ketika menentang Cerezo terutama Raja Haikarl, Danial dan Farizzudin,” kata Hamada. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan