Sebagai rekod, ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe telah dikritik susulan keputusannya menyenaraikan Hazwan dalam senarai ke kem latihan pusat untuk mengharungi kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 kerana tidak dapat minit permainan yang cukup bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.
Justeru, Hazwan berharap dapat diberikan peluang untuk membuktikan keupayaannya terutama ketika aksi antarabangsa bertemu Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini meskipun sedar saingan sangat kompetitif.
“Saya akui kurang mendapat minit permainan bersama JDT musim ini tetapi ia tidak menjadi masalah untuk saya mewakili skuad kebangsaan kerana intensiti serta sesi latihan di sini sangat tinggi.
“Saya sentiasa bersedia sekiranya diturunkan tetapi keputusan tersebut terletak di tangan jurulatih. Harus diingat sai­ngan merebut tempat dalam kesebelasan utama agak sukar dengan kualiti yang ada pada jentera serangan kali ini.
“Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang diturunkan perlu memberikan aksi seratus peratus dalam misi melakar keputusan positif ke atas Jordan kerana kita akan bertemu Indonesia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Kuala Lumpur semalam.
Selepas saingan bertemu Jordan, skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Sang Garuda di ge­langgang keramat, Stadium Gelora Bung Karno pada aksi pertama peringkat Kumpulan G pada 5 September depan.
Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe me­ngakui sedikit resah apabila pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh masih belum cergas sepenuhnya kerana kece­deraan di bahagian pangkal paha.
“Situasi Sumareh masih lagi dipantau kerana kecederaan yang dialami ketika mewakili pasukan Pahang awal bulan ini. Saya harap dia sempat pulih dan cergas sepenuhnya sebelum aksi bertemu Jordan nanti,” katanya.