KUALA LUMPUR - Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Saad Ichalelene dilihat menjadi pilihan utama dalam senarai calon yang ada bagi menggantikan jawatan Lim Teong Kim apabila kontrak Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang tersebut akan tamat pada 31 Oktober depan.
Difahamkan mesyuarat yang melibatkan Saad, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), NFDP dan juga Ketua Jurulatih bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Dalam pada itu, keputusan melantik Saad juga dikhabarkan telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan mengumumkan perkara tersebut dalam masa terdekat selepas mengadakan pertemuan dengan Teong Kim yang juga dijadualkan hari ini di Putrajaya.
Saad yang merupakan warga Perancis berketurunan Algeria, menjadi watak penting menanam DNA dan corak permainan moden dalam kalangan pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Bekas jurulatih remaja Paris Saint-Germain (PSG) itu dilantik sebagai Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat, ditemani Franck Plaine dan Abdifitaah Mohd Hassan, bagi menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan dari negara yang melahirkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe ke semua peringkat Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).
Tiga tahun berlalu dan Piala Soong Ching Ling yang dianjurkan di Hangzhou minggu lalu menjadi ujian pertama Saad – yang pernah menjadi ketua jurulatih Bawah 14 dan penolong jurulatih Bawah 19 tahun PSG - selaku ketua jurulatih di peringkat kebangsaan.
Diberi peranan sebagai pengarah teknikal NFDP dalam penyusunan semula menerusi kerjasama KBS melalui MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bersama Kementerian Pelajaran serta FAM, Saad mengumpul pemain terbaik bawah 12 tahun negara untuk dibawa ke China.
Kejayaan menamatkan kejohanan Piala Soong Ching Ling ditangga ketiga dalam saingan lapan sebelah bawah 13 tahun anjuran Yayasan Soong Ching Ling, Persatuan Bolasepak China (CFA) dan Pusat Asean-China yang menyaksikan Nur Azim Assyakirin Azman muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol menyerlahkan kemampuan Saad untuk terus mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Teong Kim.
FAM melalui laman rasminya Ahad lalu turut mengeluarkan kenyataan mengenai pengalaman peringkat awal pembabitan Saad bersama NFDP serta kejayaan yang diraihnya seolah-olah memberi bayangan akan melantiknya yang juga bekas rakan sepasukan Mamadou Sakho dan Yussuf Mulumbu di PSG itu. - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan