Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 23 Ogos 2019

PREVIU - PIALA MALAYSIA PM4. #PialaMalaysia2019


PREVIU - PIALA MALAYSIA PM4

Selepas dua perlawanan yang berlangsung pada hari Selasa dan Rabu, aksi pusingan keempat (PM4) Piala Malaysia akan bersambung malam ini.

Dalam kumpulan A, Negeri Sembilan akan melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Jurulatih Negeri, Zaki Shaikh Ahmad bekata perlawanan pusingan kedua bertemu TFC boleh diibaratkan sebagai penentu kepada nasib pasukan dalam Piala Malaysia dan mereka memerlukan kemenangan malam ini bagi memburu slot ke suku akhir.

“Perlawanan malam ini bertemu skuad Penyu ibarat ‘hidup mati’ pasukan dalam saingan musim ini. Ia boleh disifatkan sebagai peluang terakhir bagi kami untuk meneruskan cabaran musim ini,” kata Zaki.

Negeri Sembilan yang belum meraih sebarang mata setakat ini, kini menduduki tangga tercorot Kumpulan A, berbanding dengan TFC yang mempunyai rekod 100% dengan tiga kemenangan.

Zaki juga telah mengenal pasti kekurangan pasukannya di bahagian serangan.

“Melihat kepada persembahan dalam tiga perlawanan lalu, kelemahan di bahagian serangan jelas ketara.

“Pemain penyerang telah menjalani latihan khusus untuk memantapkan ketajaman mereka.

“Kita berharap menerusi usaha ini ianya akan membuahkan hasil.

“Saya juga mengharapkan penyokong akan terus memberi sokongan supaya kelebihan bermain di gelanggang sendiri dapat membantu pasukan mendapatkan tiga mata pertama dalam pertandingan ini,” katanya.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berharap Tchetche Kipre akan mengganas sekali lagi malam ini. 

Pada perlawanan pusingan pertama Sabtu lalu, pemain kelahiran Ivory Coast muncul wira TFC dengan menjaringkan hatrik di Kuala Terengganu.

Kipre merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini dengan lima gol.

“Saya berharap Kipre akan merobek gawang Negeri Sembilan sekali lagi. Tetapi apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting asalkan kita mencapai misi kami.

“Jika dilihat kedudukan kini, kita memerlukan satu lagi kemenangan sebelum sebelah kaki ke pusingan suku akhir.

“Saya telah mengingatkan pemain kemenangan tiga perlawanan sebelum ini tidak bermakna kita bagus sebaliknya masih banyak perlu diperbaiki,” kata Nafuzi.

Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melayan kunjungan PKNP FC dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

JDT mendahului kumpulan dengan tujuh mata manakala PKNP FC berada di tangga ketiga dengan empat mata.

Dalam pusingan ketiga, JDT mendahului 2-0 sebelum PKNP FC berjaya mengikat pasukan Benjamin Mora 2-2 di Manjung Jumaat lalu untuk satu mata.

‘Pemain saya bersemangat untuk menghadapi PKNP FC. Misi kami adalah untuk mendapatkan tiga mata tetapi saya telah mengingatkan pemain bahawa tidak ada perlawanan mudah dalam saingan Piala Malaysia,” kata Mora.

Pertahanan PKNP FC, Pedro Victor telah menyumbang dua gol dalam dua perlawanannya di gelanggang lawan dalam Piala Malaysia musim ini, manakala Giancarlo, yang meledak gol dalam perlawanan sebelum ini, telah menjaringkan lapan gol daripada 12 gol peribadinya di tempat lawan musim ini.

Tiga perlawanan akan berlangsung pada hari Sabtu.

Dalam Kumpulan C, Pahang akan menerima kunjungan juara liga Premier musim ini, Sabah di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pahang mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri musim ini dengan rekod tanpa kalah sepanjang 16 perlawanan, termasuk lapan kemenangan berturut-turut.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh yakin pasukan dapat mencapai kemenangan tanpa kelibat pemain tengah, Mohamadou Sumareh dan Safuwan Baharudin, masing-masing mengalami kecederaan dan penggantungan.

“Biarpun ketiadaan dua pemain ini akan memberi kesan kepada pasukan, ia tidak menyekat misi Pahang untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.

“Ketiadaan mereka di jentera tengah tidak membimbangkan saya. Dengan prestasi semasa yang dilihat positif selepas tiga perlawanan, Pahang akan pastikan kemenangan memihak kepada kita.

“Kita akan mengesahkan tempat ke suku akhir jika menang esok. Saya mahu pemain fokus dan memberi persembahan yang menarik di laman sendiri,” kata Dollah.

Juara Liga Premier musim ini, Sabah mesti mahu menebus maruah selepas kalah tiga perlawanan berturut-turut di Piala Malaysia.

Penjaring terbanyak mereka, Rodoljub Paunovic telah menyumbang empat gol dalam lima perlawanan terakhirnya di tempat lawan.

Dalam Kumpulan C, Pahang memungut sembilan mata diikuti Perak dan Pulau Pinang, masing-masing berkongsi empat mata manakala Sabah pula masih gagal mengutip mata selepas tiga perlawanan.

Juara bertahan, Perak akan bertandang ke Stadium Bandaraya untuk perlawanan menentang Pulau Pinang dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk mencerahkan harapan ke peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan pusingan pertama, Perak diikat 1-1 oleh Pulau Pinang di Ipoh pada Sabu lalu.

Pulau Pinang berada pada tahap yang baik dengan empat mata dalam dua perlawanan terakhir dan pasukan Manzoor Azwira dijangka akan memberi tentangan hebat kepada pasukan Mehmet Durakovic.

Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad telah menjaringkan gol dalam dua kunjungan terakhirnya ke Pulau Pinang, dalam aksi Liga Super 2016 dan 2017.

Stadium Hang Jebat akan menjadi gelanggang bagi pertemuan antara Melaka dan Felda United FC dalam aksi Kumpulan D.
Ketua pasukan Felda, Hadin Azman berkata perlawanan ini diibaratkan misi ‘hidup mati’ pasukannya dalam saingan Piala Malaysia.

“Satu mata daripada tiga perlawanan lalu memberi tekanan namun peluang masih ada untuk terus bersaing jika memenangi perlawanan menentang Melaka.

“Kami akan cuba mempamerkan prestasi terbaik dan berusaha untuk menyekat lawan daripada mencapai kemenangan.

Felda tewas 1-3 kepada Melaka di Jengka Sabtu lalu dan pemain tumpuan adalah penyerang Melaka, Luka Milunovic yang mencatatkan tujuh gol ketika menentang Felda musim ini, dengan menjaringkan empat gol dan menyumbang tiga bantuan gol.

Dalam perlawanan tunggal pada hari Ahad, UiTM FC akan melayan kunjungan PJ City FC dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium UiTM Shah Alam.

PJ City FC berada di tempat kedua dengan enam mata dalam kumpulan B manakala UiTM FC menduduki tangga tercorot tanpa mata selepas tiga perlawanan Piala Malaysia.

UiTM FC akan memburu kemenangan pertama selepas menewaskan Sarawak 2-1 dalam aksi Liga Premier pada May 2019; manakala skuad bimbingan K. Devan telah memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Semua perlawanan Pusingan PM4 hujung minggu ini akan disiarkan secara langsung di iflix.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan