Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu kerjasama erat antara Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkasa Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Bercakap di Buletin Utama TV3, Hamidin menjelaskan kejayaan skuad B-15 negara menjuarai Kejohanan AFF B-15 2019 baru-baru ini adalah hasil bersama keempat-empat entiti tersebut bersama FAM dan menegaskan akan membantu melengkapkan AMD di Gambang, Pahang bagi terus menghasilkan produk negara.
“Saya kira kebanyakkan pemain yang ada di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang ini perlu kita gilap lagi dan sudah tentu harapan kita bersama MSN, KPM dan KBS untuk kita lengkapkan lagi kelengkapan di AMD supaya menjadi satu tempat latihan yang moden untuk pemain-pemain kita dilahirkan di sana,” ujarnya.
AMD pernah menjadi topik perbualan hangat ketika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat tinjauan mengejut terhadap fasiliti AMD di Gambang yang mendedahkan kelompongan yang berlaku di sana pada penghujung tahun lalu.
Antaranya seperti kemudahan latihan, kemudahan gym, peralatan latihan yang tidak mancukupi, pemakanan pemain tidak dijaga dan sebagainya sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan pemain.
Pada Februari lalu, hasil lawatan mengejut kedua yang dijalankan, Syed Saddiq gembira apabila mendapati 97 peratus kecacatan binaan di AMD telah berjaya diselesaikan iaitu daripada 873 yang telah dikenal pasti, 852 kecacatan tersebut telah pun diperbaiki.
Dengan bantuan daripada FAM dan empat entiti tersebut, AMD kemungkinan bakal dilengkapi dengan kemudahan latihan yang lengkap bagi terus melahirkan produk-produk lebih berkualiti.
Mengulas mengenai kejayaan anak didik P. Maniam, Hamidin mengharapkan kejayaan ini bakal memberikan semangat kepada keseluruhan peringkat umur skuad negara untuk memberikan yang terbaik dalam kejohanan-kejohanan yang disertai selepas ini.
“Untuk menang dengan Thailand di tempat mereka sendiri adalah satu pencapaian yang bagus serta saya berpendapat komitmen dan permainan pemain-pemain muda ini agak tinggi.
“Saya kira permata muda kita ini perlu terus digilap dan perlu kita kekalkan. Kita harap pasukan Malaysia akan berjaya untuk semua kejohanan-kejohanan peringkat umur, kerana ini adalah masa depan bola sepak negara untuk 10 tahun akan datang,” ujarnya.
Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan