SKUAD B-15 negara berjaya merangkul kejuaraan pada Kejohanan AFF B-15 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.
KEJAYAAN dilakar skuad muda negara pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 nyata memberi petanda positif bahawa bola sepak Malaysia kini sedang menuju ke arah sebuah permulaan cemerlang.
Peminat bola sepak tanah air sedikit lega selepas skuad Bawah 15 Tahun (B-15) menjuarai Kejohanan AFF B-15 di Thailand dan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) muncul naib juara Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, baru-baru ini.
Lebih mengujakan, kedua-dua skuad muda negara itu turut melakar kejutan, malah skuad B-18 berjaya menewaskan salah satu gergasi Asia, Australia dengan keputusan 3-0, sekali gus melenyapkan rekod pertemuan terdahulu menyaksikan Malaysia seakan berdepan tugas mustahil menumpaskan skuad Socceroos pada setiap kejohanan peringkat umur.
Bagaimanapun, skuad Brad Maloney itu gagal mengulangi aksi terpuji mereka ketika berdepan skuad kendalian Gary Rudy Peter Van Egmond apabila tumpas tipis 0-1 di pentas final.
Bagi bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh, pihak berkaitan perlu mempunyai pelan khusus supaya kualiti dimiliki barisan pemain muda negara dapat dipelihara seterusnya dikekalkan pada tahap terbaik sehingga mereka menyarung jersi skuad senior kebangsaan.
“Sebenarnya saya terkejut dan tidak menyangka Malaysia menang sehingga 3-0 kerana Australia seperti kita tahu pasukan hebat di peringkat ASEAN. Mereka (Australia) mudah menewaskan Vietnam serta Thailand dengan jurang yang besar dan kita pula tewas kepada Vietnam pada awal kejohanan.
“Mereka (pemain muda) layak menerima pujian tetapi pihak atasan perlu memainkan peranan lebih efektif, kalau boleh jaga mereka daripada segenap aspek dengan baik. Kebiasaannya di peringkat remaja kita baik tetapi memasuki peringkat lebih tinggi, ramai hilang daripada radar,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas penyerang kebangsaan itu menyimpan impian untuk melihat Malaysia kembali menjadi antara kuasa besar bola sepak Asia seperti pernah dikecapi sebelum era 90-an.
“Nasihat saya, kita perlu memandang lebih jauh dan berfikir bagaimana kita dapat menyaingi kehebatan Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Timur Tengah. Di peringkat ASEAN kita hebat, dan kini masa untuk menuju ke peringkat Asia,” katanya yang kini membimbing pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan