
Prestasi skuad bawah 18 tahun negara dapat pujian jurulatih, Brad Maloney. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 18 (B-18) tahun negara Brad Maloney tetap berbangga dengan prestasi pasukannya walaupun gagal mempertahankan trofi Kejuaraan AFF B-18 selepas tewas 0-1 di kepada Australia di final, kelmarin.
Bagi Maloney, kejayaan mara hingga ke pentas akhir sudah cukup untuk membuktikan kerja keras yang dilakukan barisan pemain muda negara dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
"Selepas undian (peringkat kumpulan) sebelum ini, ramai yang anggap kami berada dalam kumpulan maut dan tidak banyak pihak memberi harapan untuk kami mara ke final.
"Tapi dengan pencapaian yang diraih pasukan, saya fikir ia satu usaha yang menakjubkan daripada barisan pemain. Jadi, saya sangat berbangga dengan persembahan semua pemain," katanya.
Malaysia muncul juara Kejuaraan AFF B-18 buat kali pertama, tahun lalu selepas menumpaskan Myanmar 4-3 di pentas akhir.
Namun, impian untuk mengulangi pencapaian sama tahun ini musnah menerusi jaringan tunggal penyerang Australia, Lachlan Ricky Brook pada minit ke-79 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam.
Keputusan itu turut menyaksikan Australia melunaskan dendam terhadap Malaysia selepas tewas 0-3 pada aksi peringkat Kumpulan B, 13 Ogos lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan