Biarpun peluang skuad B-18 negara untuk melangkah ke pusingan separuh akhir semakin cerah selepas menundukkan Austra­lia 3-0 kelmarin, namun Maloney tetap menghormati Thailand meskipun mereka berada di kedudukan tercorot.
Jelas Maloney, tiada istilah mudah untuk pasukan dalam kempen AFF B-18 2019 memandangkan pemain muda Thailand mempunyai reputasi yang baik sama seperti pasukan mereka pada Sukan SEA.
“Apabila berada dalam kejohanan seperti ini, tiada perkara yang mudah buat pasukan menje­lang aksi ter­akhir peringkat kumpulan.
“Thailand adalah salah satu pasukan yang sangat bagus sama seperti skuad mereka yang beraksi pada Sukan SEA,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Maloney tidak menafikan berasa teruja dengan persembahan pasukan negara selepas segala yang dirancang begitu menjadi di atas padang.
“Pemain-pemain muda ini sentiasa menunjukkan peningkatan yang sangat bagus dari satu perlawanan ke satu perlawanan pada kejohanan AFF B-18 kali ini.
“Mereka semua (pemain) memberikan segalanya ketika berada di atas padang dan segala yang dirancang dengan baik terutamanya ketika berdepan Australia,” jelasnya.
Selepas empat perla­wanan, Malaysia meng­huni kedudukan teratas Kumpulan B iaitu berkongsi sembilan mata bersama Australia yang berada di kedudukan ke­dua diikuti Vietnam ketiga dan Thailand tercorot dengan dua mata.
Sebagai rekod, skuad B-18 kebangsaan menjuarai kempen Piala AFF B-18 tahun lalu selepas me­nundukkan Myanmar 4-3 di pentas final ketika Indonesia menjadi tuan rumah bagi edisi 2018.