KOTA BHARU 19 Ogos - Skuad Malaysia mampu menewaskan Australia seterusnya merangkul kejuaraan Piala AFF Bawah 18 tahun jika mempamerkan kekuatan mental luar biasa pada aksi akhir petang ini.
Pengendali The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata, daya tahan mental yang tinggi diperagakan dalam aksi peringkat kumpulan dan separuh akhir lalu jelas memperlihatkan pasukan tersebut mempunyai 'aura' sendiri dalam merangkul kejuaraan itu nanti.
"Saya lihat pasukan ini mempunyai ramuan lengkap untuk merangkul kejuaraan dan sudah pastinya tidak mempunyai masalah berdepan Australia buat kali kedua.
"Namun begitu, saingan final berbeza dengan aksi peringkat kumpulan, jadi saya harap barisan muda negara dapat memberikan aksi terbaik pada petang ini untuk memastikan kejuaraan berjaya dibawa pulang ke Malaysia," katanya.
Bekas kapten Perlis itu memberitahu, kebangkitan luar biasa menyingkirkan Indonesia pada aksi separuh akhir lalu perlu terus dikekalkan.
Katanya, dia optimis Malaysia mampu menewaskan Australia walaupun Socceroos bakal tampil dengan barisan terkuat nanti.
Malaysia mara ke pentas akhir selepas mempamerkan aksi luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Indonesia 4-3 pada aksi separuh akhir. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan