Menang 4-3 ke atas seteru tradisi Indonesia di Vietnam
SKUAD bawah 18 tahun (B-18) negara mencipta kemenangan dramatik 4-3 ke atas seteru tradisi, Indonesia pada pusingan separuh akhir sekali gus menempah tiket final kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 di Stadium Binh Duong, Ho Chi Minh City semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad bimbingan Brad Maloney mempamerkan aksi cemerlang pada awal saingan apabila penyerang muda negara, Mohd. Aiman Afif Md. Afizul menyumbat gol pembukaan pada minit ke-19.
Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Sang Garuda memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama hasil rembatan Beckham Putra Nugraha.
Bersambung pada babak kedua, penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mempamerkan aksi cemerlang untuk meledak gol kedua hasil rembatan luar kotak penalti untuk memastikan skuad negara mendahului 2-1 pada minit ke-55.
Skuad Indonesia yang dikendalikan oleh Fakhri Husaini ternyata tidak mudah menyerah apabila bangkit sekali lagi dengan gol penyamaan yang diledak oleh Muhd. Fajar Fathur
Rachman pada minit ke-80.
Momentum tersebut diteruskan oleh pasukan lawan yang berjaya mendahului buat pertama kali apabila Muhd. Salman Alfarid menyumbat gol dua minit kemudian untuk memastikan penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tewas buat kali ketiga.
Namun, skuad negara enggan mengibarkan bendera putih selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-84, sekali gus mengheret perlawanan hingga ke masa tambahan.
Pada aksi masa tambahan, kedua-dua pasukan semakin rancak melakukan serangan tetapi nasib ternyata lebih memihak kepada skuad muda Harimau Malaya selepas Harith Haiqal muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-99.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara mara ke final buat kali kedua berturut-turut sekali gus mencerahkan peluang mengekalkan kejuaraan peringkat remaja Asia Tenggara itu selepas menang pada edisi 2018 di Indonesia.
Pada final tahun lalu, skuad muda negara yang ketika itu dibimbing oleh Bojan Hodak berjaya menewaskan Myanmar 4-3 di pentas final sekali gus menjulang Piala AFF B-18 buat pertama kali dalam sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan