KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malaysia dan Australia bakal membuat perhitungan buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu selepas kedua-dua pasukan berentap sesama sendiri untuk menentukan juara Kejohanan AFF Bawah 18 tahun (B-18).
Australia meneruskan pemburuan gelaran kelima selepas menumpaskan Myanmar 2-1 dalam separuh akhir di Stadium Go Du, Thuủ Dau Mot, Vietnam sebentar tadi.
Kemenangan itu hadir tidak lama selepas Malaysia terlebih dulu mengesahkan tiket final buat kali kedua berturut-turut dengan menumpaskan juara 2013, Indonesia 4-3 di venue sama.
Seperti aksi Malaysia-Indonesia, perlawanan di antara dua bekas juara, Australia menentang Myanmar juga berlangsung sengit.
Myanmar juara 2003 dan 2005 mengejutkan Australia apabila membuka jaringan seawal minit ke-18 menerusi La Min Htwe.
Australia, juara 2006, 2008, 2010 dan 2016 bagaimanapun membalas dengan dua gol pada separuh masa kedua menerusi Lachlan Brook (minit ke-56) dan Clifton Trewin di minit ke-77.
Bagi Malaysia, yang turun selaku juara bertahan, pertemuan ulangan dengan Australia memberi kelebihan psikologi selepas mengalahkan pasukan itu 3-0 dalam aksi Kumpulan B, Selasa lalu.
Bagaimanapun, perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh pada Isnin ini sama sekali satu cerita berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan