PASUKAN B-18 negara meraih kemenangan 3-0 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan B, hari ini.
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pasukan negara bawah 18 tahun (B-18) meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Piala AFF B-18 di Stadium Than Long, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia berkongsi sembilan mata dengan Australia selaku pendahulu Kumpulan B dengan perbezaan jaringan.
Skuad kendalian Brad Maloney menampilkan aksi cemerlang dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 menerusi penyerang Luqman Hakim Shamsudin sebelum Muhamad Azam Azmi Murad meledak jaringan kedua negara 10 minit kemudian.
Enam minit sebelum memasuki waktu rehat, Luqman Hakim meledak jaringan peribadi kedua bagi memastikan Malaysia meraih tiga mata penting.
Keputusan itu menyaksikan peluang Malaysia, Australia dan Vietnam masih terbuka untuk ke saingan empat terbaik dengan masing-masing memiliki satu lagi perlawanan untuk menentukan pasukan yang layak ke saingan seterusnya.
Dalam aksi terakhir, Malaysia akan berdepan Thailand manakala Australia akan bertemu Singapura dan tuan rumah Vietnam akan menanti saingan Kemboja.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan