
LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN (tengah) berjaya menambat hati Ong Kim Swee untuk diserapkan ke dalam skuad Sukan SEA 2019.
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui telah mengenal pasti beberapa pemain berpotensi daripada pasukan B-18 negara untuk diserapkan ke dalam pasukannya menjelang Sukan SEA Filipina, November nanti.
Bagaimanapun, Kim Swee enggan mendedahkan nama pemain tersebut, tetapi dia tidak menafikan penyerang buruan kelab liga satu Jepun (J1) Cerezo Osaka, Luqman Hakim Shamsudin antara salah seorang pemain yang mencuri perhatiannya.
Jelasnya, dia enggan terburu-buru membuat keputusan kerana mahu menyediakan barisan pemain terbaik untuk memenangi pingat emas temasya tersebut.
“Kita masih ada masa dalam dua bulan lagi untuk menilai pemain. Saya mahu lihat pemain yang konsisten dan mempunyai waktu bermain.
“Luqman, anda semua tahu dia mempunyai sentuhan penyudah yang cukup baik dan bermain dengan bagus pada Kejuaraan AFF di Vietnam. Bukan dia seorang, tetapi ada beberapa lagi pemain yang saya dapat lihat berpotensi besar.
“Mereka masih ada satu lagi kejohanan AFC B-19 (Kejuaraan Bawah 19 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia) pada November nanti, dan saya mahu lihat perkembangan prestasi pemain dalam skuad itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dua tahun lalu, ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, pasukan bimbingan Kim Swee dikecewakan Thailand 0-1, sekali gus memusnahkan impian negara untuk meraih pingat emas di laman sendiri.
Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas Sukan SEA ialah pada tahun 2011 selepas menewaskan Indonesia ketika temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu berlangsung di Jakarta. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan