
KHAIRUL AMRI KAMAL
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penyerang antarabangsa Singapura, Mohamad Khairul Amri Kamal berharap lebih ramai rakan senegaranya, memilih untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) yang boleh disifatkan sebagai salah satu liga terbaik di rantau Asia Tenggara.
Penyerang Felda United itu mendedahkan, pemain dari seberang tambak mampu bersaing dengan pemain import lain, memandangkan mereka turut berusaha mempamerkan prestasi terbaik, apabila diberi peluang menyarung jersi sesebuah pasukan.
“Selain itu, ia juga satu keuntungan buat pasukan Liga Malaysia menambat pemain Singapura, kerana secara tidak langsung mereka juga dapat mengumpul peminat di sana dalam proses mengembangkan kelompok penyokong,” jelasnya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu percaya, peluang Felda United ke peringkat suku akhir Piala Malaysia masih ada, walaupun menduduki tangga tercorot daripada empat pasukan dalam Kumpulan D dengan kutipan satu mata selepas tiga perlawanan.
“Perjuangan Felda United sukar, tetapi peluang itu masih ada. Apa yang pasti kami tidak boleh tercicir mata jika mahu melepasi peringkat kumpulan kali ini.
“Sudah pasti kami akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan kedudukan lebih baik dan berusaha mendapatkan slot suku akhir Piala Malaysia 2019,” jelas Mohamad Khairul Amri yang sudah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.
Saingan Liga M bukanlah asing bagi Khairul Amri yang pernah mewakili kelab LionsXII dari Singapura, dalam saingan Liga Super pada 2012, 2014 dan 2015 sebelum kelab berkenaan dibubarkan pada penghujung musim 2015.
Dia turut membantu pasukan berkenaan meraih Piala FA pada 2015 selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk rekod, beberapa pemain Singapura sedang beraksi dalam Liga M seperti Hariss Harun yang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Safuwan Baharudin yang beraksi bersama Pahang. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan