
GIORGIO POMPILI ROSSI (kanan) bersama pihak penaja, Eksekutif Pemasaran PUMA Sports Goods Sdn. Bhd, Benjamin Ling (kiri) serta Ketua Pemasaran dan Komunikasi Asia Bein Sports, Magdalene Ng bergambar bersama selepas program bertemu media Malaysia di The Social, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR 26 Ogos – Perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi melaksanakan peraturan kawalan ekonomi dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun depan merupakan formula terbaik untuk menyelesaikan masalah hutang yang sering dihadapi pasukan dalam liga tempatan.
Delegasi La Liga Global Network Malaysia, Giorgio Pompili Rossi berkata, pihaknya akan bekerjasama erat bersama MFL dan bersedia membantu dalam pelbagai aspek bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan badan pentadbir liga itu.
Tambahnya, dia optimis peraturan itu akan membawa banyak kebaikan kepada pasukan Liga M dalam menangani masalah kewangan yang dihadapi saban tahun.
Kawalan ekonomi yang diperkenalkan La Liga berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan yang bertanding sebanyak 90 juta euro (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar bagi tahun 2017, sekali gus menyelesaikan kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.
“Peraturan kawalan ekonomi ini adalah kejayaan untuk La Liga, tetapi banyak persoalan yang saya terima tentang bagaimana ia diterima oleh kelab sebaik ia mula dilaksanakan? Bagaimana kelab bertindak balas terhadap peraturan kawalan ekonomi? Jawapannya mudah kerana peraturan kawalan ekonomi wujud kerana kelab itu sendiri memerlukannya.
“Peraturan kawalan ekonomi adalah langkah terbaik dan ia bukan sesuatu yang kelab perlu mengeluh kerana peraturan sama dikenakan ke atas semua kelab. Kelab-kelab harus menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dan sekarang apabila anda berkata ia telah berjaya? Itu betul.
“Sesuatu perkara memerlukan masa untuk melihat hasilnya, tetapi sekarang kita dapat melihat La Liga jadi contoh kepada pengurusan kewangan kelab yang lebih terjamin,” katanya di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan