Skuad muda negara membenam Kemboja 3-0, dua hari selepas mengalahkan Singapura 3-1 dalam aksi Kumpulan B.
"Persembahan baik daripada pasukan. Mereka menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
"Tiada satu pun perlawanan di sini yang mudah, jadi kemenangan ini sangat bagus buat kami.
"Lawan selepas ini adalah Australia dan ia tidak mudah. Mereka mengalahkan Thailand (3-1)dalam aksi terakhir tetapi kami sudah bersedia," kata Maloney kepada ASEAN Football.
Turun sebagai juara bertahan, Malaysia memulakan kempen dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Vietnam, Rabu lalu.
Anak-anak buah Maloney bagaimanapun mempamer peningkatan ketara dalam dua perlawanan berikutnya.
Keputusan Maloney merombak kesebelasan utama dalam aksi di Stadium Thanh Long hari ini nyata tepat selepas memperoleh kesemua tiga gol pada babak pertana.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-18 menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti yang disempurnakan kapten, Muhammad Mukhairi Ajmal.
Muhd. Muslihuddin Atiq menggandakan kedudukan Malaysia selepas memperdayakan penjaga gol, Vireak Dara sebelum menolak bola pada minit ke-38.
Pemain pertahanan, Muhammad Firdaus Ramli melengkapkan kemenangan 3-0 pada waktu kecederaan babak pertama apabila sepakan percuma dari sebelah kiri gawang lawan gagal ditumbuk.
Malaysia akan menentang juara empat kali,Australia, Selasa ini sebelum bertemu Thailand pada,Khamis depan. - UTUSAN ONLINE