Perlawanan itu juga memberi bayangan kepada Cheng Hoe siapakah 23 pemain yang akan dibawa ke Jakarta pada 5 September ini untuk aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.
“Kami melakukan kesilapan ketika melepaskan gol pertama, tetapi secara keseluruhan pemain menunjukkan permainan yang bagus, terutama pada babak kedua.
“Kami bermain agresif sebaik sahaja wisel separuh masa ditiupkan, malah memperoleh beberapa peluang.
“Biarpun kalah, ada perkara positif yang ditunjukkan dalam perlawanan ini. Kita bermain dengan tempo yang bagus dan keadaan ini harus dikekalkan jika kita mahu bersaing di peringkat lebih tinggi seperti kelayakan Piala Dunia,” kata Cheng Hoe.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia ketinggalan seawal minit ketujuh selepas kapten Jordan, Said Morjan memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti negara sebelum melakukan rembatan melepasi penjaga gol, Farizal Marlias.
Harimau Malaya bagaimanapun memperoleh beberapa peluang menyamakan jaringan tetapi tiada penyudah tajam.
Statistik juga menunjukkan Malaysia menguasai 53 peratus permainan berbanding 47 peratus yang miliki lawan.
Pertemuan menentang pa­sukan No. 99 dunia itu adalah pentas terbaik Cheng Hoe untuk mencari kombinasi yang akan digunakan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Selain Indonesia, Malaysia turut diletak bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G.