Malaysia yang membenamkan Australia 3-0 pada peringkat kumpulan minggu lalu, tewas 0-1 dalam final selepas Lachlan Ricky Brook mencatatkan gol kemenangan pada minit ke-79 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam.
Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, Maloney mengakui ia perjalanan yang luar biasa bagi pasukannya yang berjuang sehingga berjaya melangkah ke peringkat final.
"Saya sangat gembira dengan persembahan pemain (secara keseluruhan).
"Mereka telah berjaya sehingga ke peringkat final. Ia adalah usaha hebat daripada seluruh pasukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Mengulas mengenai kekalahan itu, beliau mengakui pertukaran penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang mengalami kecederaan dan digantikan dengan Firdaus Imran Mohd. Fadhil pada minit ke-76 memberi kesan kepada keputusan akhir.
Bagaimanapun, beliau memuji pasukannya yang mempamerkan prestasi cemerlang selain semangat juang yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.
"Pemain saya memberikan komitmen dan semangat juang yang tinggi, dan ia sangat hebat," katanya. - BERNAMA