
MOHAMADOU Sumareh dalam sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Kuala Lumpur, Cheras hari ini. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Perkara yang dibimbangi Tan Cheng Hoe akhirnya menjadi kenyataan apabila Harimau Malaya terpaksa melupakan Mohamadou Sumareh dalam aksi persahabatan menentang Jordan, Jumaat ini akibat kecederaan.
Kata Cheng Hoe, sebaiknya pemain naturalisasi Malaysia pertama itu direhatkan dalam pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membolehkannya kembali lebih baik mantap pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.
“Sumareh dia tidak dapat diturunkan menentang Jordan tetapi saya harap dia dapat kembali selepas perlawanan itu.
“Pemain lain berlatih seperti biasa. Memasuki hari ketiga latihan, saya lebih fokus kepada taktikal perlawanan dan hari seterusnya.
“Sebagai jurulatih saya perlu mendapatkan banyak maklumat sebelum lawan.
“Pada masa sama juga saya perlu memberi motivasi kepada pemain.
“Buat masa sekarang saya lihat hubungan pemain di dalam dan luar padang rapat, jadi tiada sebarang isu untuk pemain yang baharu dipanggil buat pertama kali.
“Saya tidak nampak ada pemain bersedih apabila bersama pasukan. Mereka bersaing secara sihat untuk merebut tempat. Petanda positif untuk pasukan,” kata Ketua Jurulatih Malaysia itu dalam sesi latihan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras hari ini.
Sumareh sebelum ini berada dalam situasi 50-50 selepas mengalami kecederaan pangkal paha, malah sudah dua minggu tidak menjalani latihan penuh bersama Pahang.
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menyambut baik cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi yang bersedia melantik pakar psikologi bagi menguatkan mental untuk menghadapi Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September ini.
“Satu cadangan yang bagus sebab kemungkinan kita tidak mahu pemain menerima gangguan daripada segi psikologi yang boleh menyebabkan mereka tidak fokus untuk menghadapi Indonesia.
“Penting untuk pemain bersedia dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan