
SYAHMI Safari dan Helord Goulon.
KUALA LUMPUR: Impian peminat bola sepak negara ini untuk melihat jaringan pemain kebangsaan, Syahmi Safari dan pemain import Pahang, Herold Goulon bersaing merebut Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi tahun ini tidak kesampaian.
Ia susulan jaringan gol oleh kedua-dua pemain berkenaan yang dicalonkan untuk anugerah terbabit tidak tersenarai dalam 10 terbaik yang diumumkan oleh badan induk bola sepak dunia itu, hari ini.
FIFA dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya berkata 10 jaringan yang tersenarai itu dipilih oleh panel pemilihan badan induk berkenaan dan pakar bola sepak luar dengan jaringan yang dihasilkan antara 16 Julai tahun lalu hingga 19 Julai tahun ini.
"Undian awam akan ditutup pada 1 September 2019. Tiga gol teratas daripada undian di FIFA.com akan dipilih untuk diundi oleh kalangan legenda FIFA bagi menentukan pemenang Anugerah Puskas 2019,".
Antara 10 jaringan terbaik yang tersenarai itu adalah oleh bintang Argentina dan Barcelona, Lionel Messi serta bekas pemain antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menghantar jaringan Syahmi dan Goulon untuk calon Anugerah Puskas dengan Majlis Anugerah Terbaik FIFA dijadualkan berlangsung pada 23 September ini.
Syahmi menghasilkan jaringan menarik pada aksi Piala AFF, tahun lalu manakala Goulon pula meledak gol dari jarak lebih 50 meter ketika aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Jun lalu.
Untuk rekod, Faiz Subri pernah mencipta sejarah apabila muncul pemain pertama dari Malaysia dan Asia yang memenangi Anugerah Puskas 2016 menerusi jaringan yang dikatakan melanggar hukum fizik.
Bekas pemain Pulau Pinang itu mengetepikan jaringan Johnath Azevedo dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan