![Simon McMenemy](https://www.utusan.com.my/polopoly_fs/1.963698.1567266945!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_620/image.jpg)
Simon McMenemy
JAKARTA 31 Ogos – Indonesia menerima suntikan semangat untuk menghadapi Malaysia dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas berjaya menewaskan kelab negara itu, Bhayangkara 2-0 dalam aksi persahabatan di Kabupaten Bogor, Rabu lalu.
Itu kemenangan kedua Garuda selepas menewaskan Persika Karawang 4-0 minggu lalu dan pastinya mereka teruja untuk menghadapi Harimau Malaya di Stadium Utama Bung Karno pada 5 September ini.
Jurulatih Indonesia, Simon McMenemy gembira dengan perkembangan yang dipamerkan anak-anak buahnya dalam kedua-dua aksi tersebut.
“Ujian yang cukup bagus. Sayangnya hujan turun sepanjang perlawanan yang membuat kedua-dua pasukan berhadapan kesukaran sehingga tidak dapat mempamerkan aksi maksium.
“Bagaimanapun, saya gembira kerana pemain menterjemahkan arahan dalam permainan.
“Kami mengubah formasi pada 20 minit terakhirnya. Saya gembira menjelang pertemuan menentang Malaysia dengan dua formasi berbeza,” katanya yang dipetik bolastylo.com.
Dalam pada itu, McMenemy terpaksa menggugurkan penyerang, Greg Nwokolo akibat kecederaan dan kekosongan tersebut digantikan dengan pemain import Pahang, Saddil Ramdani.
Saddil dipanggil memperkuatkan jentera serangan Indonesia dan berdasarkan prestasinya dia telah menghasilkan dua gol daripada 21 penampilan dalam aksi Liga Super bersama Tok Gajah. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan