PENJAGA gol Skuad B-18 Kebangsaan, Muhammad Firdaus Irman. NSTP/Zunnur Al Shafiq.
KUALA LUMPUR: Penjaga gol utama skuad Bawah 18 tahun negara (B-18), Firdaus Irman Mohd Fadhil mungkin akan kembali membarisi kesebelasan utama bagi aksi final Kejuaraan B-18 AFF 2019 menentang Australia, malam ini.
Ini selepas pengendalinya, Brad Maloney menegaskan ketiga tiga penjaga gol pasukan itu termasuklah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan seorang lagi penjaga gol, Muhammad Riezman Irfan Mustafah berada dalam keadaan terbaik sekali gus berpeluang untuk diturunkan pada aksi penentuan itu.
"Ketiga tiga penjaga gol berpeluang untuk dipilih bagi aksi final nanti," katanya.
Pada masa sama, Maloney menjelaskan 'pengguguran' Firdaus dalam kesebelasan utama menentang Indonesia kelmarin bukanlah satu hukuman ke atas penjaga gol PKNP FC itu susulan kesilapannya pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand, Khamis lalu.
Sebaliknya, ia adalah keputusan yang dipersetujui oleh barisan kejurulatihan sekali gus menyaksikan Sikh Izhan diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai benteng terakhir skuad negara pada aksi separuh akhir Kejuaraan B-18 AFF 2019 itu.
"Keputusan dibuat dalam kalangan barisan kejurulatihan," katanya.
Terdahulu, ketiadaan Firdaus daripada kesebelasan utama skuad negara bagi aksi separuh akhir Kejuaraan B-18 AFF 2019 menimbulkan persoalan apabila ramai berpendapat dia dihukum' susulan permainan permainan berisiko yang ditampilkan olehnya pada perlawanan terakhir menentang Thailand, Khamis lalu.
Sebagai rekod, tindakan melulu yang dilakukannya itu menyebabkan skuad negara tumbang 1-0 pada aksi terbabit yang menjadi kekalahan kedua buat skuad bimbingan Maloney itu sepanjang kempen di Vietnam itu.
Tindakannya yang cuba ‘mempermainkan’ pemain Thailand, Sitthinan Rungrueang menyaksikan pemain Thailand itu berjaya merebut bola di kakinya sebelum menolak bola ke gawang kosong sekali gus membolehkan skuad ‘Gajah Perang’ itu meraih kemenangan pertama dan meletakkan Malaysia di ambang penyingkiran daripada pertandingan itu.
Namun, skuad negara lega apabila Vietnam yang bakal lolos ke separuh akhir sekiranya menang ke atas Kemboja gagal menggunakan peluang itu sebaiknya apabila tewas mengejut 2-1 ke atas Kemboja menerusi jaringan minit akhir perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan