
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima laporan insiden pergaduhan didakwa membabitkan penyokong pasukan Perak dan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, laporan diperoleh daripada komisioner perlawanan, pengadil dan general coordinator untuk perlawanan itu.
"Semua laporan itu sedang dikumpul oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya.
"Namun, masih ada satu laporan belum diserahkan oleh pasukan keselamatan Stadium Bandaraya kerana perlu meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengetahui kejadian sebenar.
"Dimaklumkan mereka akan serah laporan berkaitan hari ini juga," katanya dihubungi, hari ini.
Video kekecohan yang dikatakan bermula di dalam stadium membabitkan segelintir penyokong kedua-dua pasukan saling membaling objek dan melakukan provokasi tular di media sosial sejak kelmarin dan didakwa berlarutan hingga ke luar stadium.
Susulan kejadian, polis Daerah Timur Laut juga menerima laporan seorang lelaki cedera di hidung, mata kiri serta sakit di kepala akibat dipukul dipercayai lima penyokong pasukan bola sepak Perak di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran stadium itu.
Mohd Yusoff berkata, laporan lengkap yang diterima akan diteliti sama ada mempunyai kes untuk dibawa ke dalam mesyuarat jawatan kuasa atau sebaliknya.
"Sebarang keputusan sama ada pihak terbabit didenda dan sebagainya akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib bergantung kepada kes," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan