Pemain berusia 32 tahun itu ketika ditemui dalam satu majlis di Subang Jaya memberitahu, bola sepak tetap bergolak di dalam jiwanya meskipun hampir setahun mengambil keputusan untuk berehat.
Nama pemain kelahiran Kedah itu sebelum ini meniti di bibir peminat bola sepak selepas memahat sejarah muncul pemain Asia pertama meraih anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 9 Januari 2017.
Begitupun Faiz mengakui, setakat ini dia masih belum mendapat mana-mana tawaran daripada pasukan dan mahu mengambil sikap bertenang dahulu.
“Sekarang ini saya mahu berehat bersama keluarga dahulu sebab saya pun baru menimang cahaya mata ketiga, yang lahir pada bulan Februari lalu. Tengok tahun depan macam mana (dapat bermain atau tidak).
“Setakat ini saya belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan. Kalau diberi peluang, saya ingin lagi bermain. Saya juga akan menilai dahulu tawaran (jika ada) sebelum membuat sebarang keputusan menyertai pasukan tersebut.
“Kalau ada tawaran, saya akan nilai dahulu setiap peluang daripadanya kerana pemain makin ramai, pasukan pula makin berkurang,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pemain cilik dari akademi NAFC dalam Hari Ulang Tahun Dacathlon di Subang Jaya, di sini hari ini.
NAFC yang diasaskan oleh bekas pembatu jrulatih Pulau Pinang, Nazim Ariff, ditubuhkan pada 2019 bertujuan melatih dan menghamparkan platform kepada generasi muda untuk membina asas bola sepak.- UTUSAN ONLINE