
DANIEL Daniel Amier Norhisham menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini menjelang aksi persahabatan menentang Jordan di Bukit Jalil, Jumaat ini. - BERNAMA
Dia bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya yang sedang berlangsung untuk berada dalam senarai 23 pemain akhir yang akan beraksi di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan.
“Alhamdulillah, kehadiran saya diterima baik oleh rakan-rakan sepasukan lain terutama pemain senior yang banyak menolong sejak sesi latihan skuad kebangsaan bermula Ahad lalu.
“Selepas mendapat panggilan daripada jurulatih Tan Cheng Hoe susulan prestasi cemerlang bersama Felda United, saya mahu beri persembahan lebih baik lagi bersama pasukan kebangsaan,” katanya hari ini.
Pada masa yang sama, Daniel Amier mengakui pengalaman membantu Felda United kekal dalam saingan Liga Super musim depan menjadi azimat terbaik untuk dirinya menemui kembali sentuhan cemerlang di pentas antarabangsa.
“Kita tahu ramai pemain Felda United yang lebih senior telah meninggalkan pasukan, jadi saya ambil tanggungjawab yang diberikan oleh jurulatih, Mohd. Nidzam Jamil untuk bantu Felda United kekal dalam saingan Liga Super,” katanya yang gembira kerana dapat disenaraikan buat julung kalinya bersama skuad kebangsaan.
Nama Daniel Amier mula dikenali penyokong skuad bola sepak tempatan selepas menjaringkan gol tunggal ketika Malaysia ketika menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam Kejuaraan AFC Bawah 23 (B-23) di China pada Januari tahun lalu, sekali gus membantu pasukan negara mencatat sejarah mara suku akhir buat julung kalinya.
Cheng Hoe bakal menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain ketika ini selepas aksi pemanas badan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Perlawanan pemanas badan berkenaan adalah persediaan Malaysia untuk menghadapi Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan