
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Keazaman untuk bangkit selepas dimalukan 0-3 pada peringkat kumpulan menjadi motivasi Australia ketika menumpaskan Malaysia 1-0 dalam final Kejuaraan AFF Bawah 18 tahun (B-18) di Ho Chi Minh, semalam.
Jaringan tunggal Lachlan Brook pada lewat permainan di Stadium Thong Nhat memberikan kejuaraan kelima buat Australia selepas menang pada 2006, 2008, 2010 dan 2016.
Kemenangan itu membolehkan skuad Young Socceroos melunaskan dendam selepas kalah 0-3 kepada pasukan negara dalam aksi Kumpulan B, Selasa lalu.
"Kami kalah kepada Malaysia pada peringkat kumpulan, jadi kami berazam untuk tidak kecewa lagi dalam perlawanan akhir.
"Kemenangan ini adalah perkembangan baik untuk kami sebelum meneruskan cabaran dalam kelayakan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia)," kata Brook yang dipetik dalam ASEAN Football.
Selepas Australia bermula agresif dan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Malaysia pada babak pertama, pasukan negara bangkit dengan aksi lebih baik di separuh masa kedua.
Bagaimanapun, tiada jaringan terhasil sehinggalah Brook melepaskan rembatan untuk gol tunggal pasukannya pada minit ke-79. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan