
PENGURUS Besar AFS, Faizal Sa'audi berucap pada majlis pelancaran AFS, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Sekolah Bola Sepak Asia (AFS) tidak sama seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sebaliknya lebih menumpukan kepada pembangunan akar umbi khususnya buat 'ubi muda' yang tidak terpilih di mana-mana akademi sedia ada di neagra ini.
Pengurus Besar AFS, Faizal Sa'audi berkata, pihaknya cuba melakukan pendekatan menarik bagi menarik minat kanak-kanak terbabit dalam sukan bola sepak.
"Kami rasakan pasaran bola sepak Malaysia sudah sedia untuk diterokai. Semua jurulatih kami di Indonesia adalah profesional, begitu juga jurulatih di Malaysia.
"NFDP lebih kepada pemain elit tetapi kita menjurus kepada pembangunan akar umbi," katanya pada majlis pelancaran AFS, hari ini.
Projek AFS dijangka akan berjalan pertengahan bulan depan dengan yuran dikenakan sebanyak RM110 sebulan.
Dalam masa sama, Faizal mengakui pelajar sekarang lebih berminat kepada aktiviti lain daripada sukan namun menjadi tanggungjawab pihaknya menarik minat untuk mereka terbabit dalam bola sepak.
"Memang budak sekarang kurang bersosial dengan sukan sebaliknya lebih kepada permainan video dan sebagainya. Jadi kita mahu tanam nilai cintakan sukan termasuk bola sepak.
"Kita akan cuba tarik mereka sama seperti bagaimana mereka tertarik dengan permainan video," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan