Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Rabu, 14 Ogos 2019

AFF B-18: Luqman Hakim Tampil Dengan Misi Balas Dendam Menentang Thailand


Selepas menumpaskan pasukan pilihan Australia dengan kemenangan bergaya 3-0, skuad kebangsaan B-18 kini dalam motivasi terbaik apabila dijadualkan menentang pasukan Thailand petang ini.
Sekiranya perlawanan menentang juara lima kali itu berakhir dengan kemenangan, pasukan Harimau Muda berpeluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara kumpulan B dengan 12 mata.

Namun satu-satunya halangan adalah keputusan melibatkan perlawanan di antara Australia dan Singapura yang menyaksikan semua tiga perlawanan terakhir kumpulan B akan dilangsungkan serentak.
Australia juga kini mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan namun kelebihan perbezaan jaringan berpihak kepada pasukan negara.
Penyerang prolifik skuad B-18 negara, Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang Australia tempoh hari mempunyai misi peribadi.
Beliau menyifatkan perlawanan menentang Thailand adalah medan untuk membalas dendam di atas kekalahan 4-2 kepada Thailand dalam Kejuaraan AFC B-16 tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aksi Luqman Hakim ketika menentang Thailand dalam kejohanan AFC B-16. FOTO: AFC
Lebih perit lagi, Luqman telah dilayangkan kad merah dalam perlawanan berkenaan. Luqman muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan itu dengan meledak lima gol.
Ketika ditanya oleh wartawan Berita Harian mengenai peluang untuk sekali lagi dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan, Luqman menyifatkan kejayaan pasukan adalah lebih penting berbanding pemain mana yang menjaringkan gol. Beliau mahu membuktikan bahawa pasukan negara bukanlah pasukan belasahan dan serius dengan misi mempertahankan kejuaraan.
“Bagi saya tidak kira siapa pun lawan kami sama ada Vietnam, Thailand atau Australia. Kami pun ada kaki untuk berikan aksi terbaik. Kalau kami berusaha keras dan bermain sebagai satu pasukan, insyaAllah kami akan dapat kemenangan,” kata pemain itu.
Pemain yang kini telah mengumpul tiga gol dalam kejohanan ini tidak lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan beliau.
“Mereka (ibu bapa) sentiasa memberi dorongan kepada saya dan sering berpesan untuk berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan…paling penting mereka pesan solat dan doa jangan tinggal terutama mendoakan kejayaan pasukan.
“Saya juga membaca tiga Qul setiap kali sebelum melangkah masuk ke padang dan itu memang apa diajar oleh ibu dan bapa yang sentiasa saya pegang dan amalkan sehingga hari ini,” katanya lagi.
Selepas beberapa kali dikaitkan dengan spekulasi diintai oleh beberapa kelab Jepun, pemain yang berasal dari Kota Bharu kelantan itu kini sah akan menjalani sesi percubaan bersama kelab divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka pada bulan hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan