Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 13 Ogos 2019

AFF B-18: Brad Maloney Tiru Ong Kim Swee?


Baru-baru ini, pengendali skuad B-18 negara yang sedang bersaing dalam Piala AFF B-18, Brad Maloney, dikatakan oleh peminat bola sepak tempatan yang beliau cuba ‘meniru’ gaya permainan skuad B-23 yang dikendali rakan sejawatannya, Datuk Ong Kim Swee.
Menurut portal New Straits Times, dakwaan ini timbul berikutan kekalahan 0-1 skuad negara kepada Vietnam pada aksi pertama.

Perbandingan itu tidak boleh dielak memandangkan Brad Maloney sendiri pernah berkhidmat sebagai pembantu Kim Swee sejak 2014. Namun bermula Julai 2019, jurulatih berusia 47 tahun itu telah dilantik sebagai pengendali sementara sehingga hujung tahun ini bagi menggantikan Bojan Hodak.
Brad Maloney menafikan ‘cubaan meniru’ tersebut tetapi menjelaskan apa yang diterapkannya pada perlawanan tersebut dan perlawanan selepas ini adalah berdasarkan DNA yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Sebahagian daripada tugasan saya adalah untuk menyediakan pemain yang memahami apa yang diterapkan oleh skuad B-22, supaya kita dapat meneruskan kesinambungan antara skuad kebangsaan dan menyediakan proses peralihan yang lancar apabila mereka naik pangkat ke skuad yang seterusnya,” jelasnya.
“Perkara ini memerlukan masa dan saya baru saja bersama mereka dua minggu lalu menjelang kejohanan ini (Piala AFF B-18).
“Saya percaya para pemain sangat cepat menyesuaikan diri dan walau apa pun keputusan yang diraih, keputusan hari ini (menang 3-0 ke atas Kemboja) adalah buktinya,” ujar Brad Maloney lagi.

Selepas kekalahan kepada Vietnam, Malaysia meraih kemenangan menentang Singapura (3-1) dan Kemboja (3-0) dan menurutnya, tiada perubahan pendekatan yang dilakukannya kepada mereka.
Menurutnya juga, tiada istilah perlawanan mudah untuk mereka di kejohanan ini dan aksi selepas ini menentang juara empat kali, Australia dan kemudian Thailand adalah lebih sukar buat mereka.
“Tiada perlawanan mudah di sini tetapi saya percaya kami semakin baik dari perlawanan ke perlawanan apabila pemain-pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan falsafah kami. Pendekatan untuk perlawanan ini (menentang Kemboja) tiada bezanya dengan lain-lain perlawanan,” ulas Brad Maloney lagi.
“Jelas sekali Australia adalah calon utama dengan majoriti pemain-pemain mereka adalah pemain di A-League dan seorang di luar negara (beraksi untuk Burnley di EPL). Kita akan kekal dengan pendekatan kita dan moga-moga akan meraih keputusan positif.”
Malaysia akan turun menentang Australia pada jam 4.30 petang ini. Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF B-18 dan tahun lalu Malaysia muncul juara selepas menumpaskan Myanmar 4-3 di Surabaya.
Kredit Featured Image: mStar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan