4 Sebab Mengapa Cerezo Osaka Adalah Pilihan Yang Bijak Untuk Luqman Hakim
Beberapa hari yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan bahawa penyerang utama skuad Malaysia U19, Luqman Hakim akan terbang ke Jepun bagi menjalani sesi pemilihan bersama kelab J1 League, Cerezo Osaka.
Pada dasarnya 3 kelab yang patut menjadi sasaran utama pemain muda Malaysia untuk berjinak-jinak dalam saingan bola sepak Jepun; Gamba Osaka, Cerezo Osaka dan FC Tokyo.
Mengapa 3 kelab ini perlu diberikan keutamaan akan dijelaskan seperti dibawah.
Peluang Turun Beraksi Untuk Kelab Lebih Tinggi
Sudah pasti bukan mudah untuk seseorang pemain bagi menyesuaikan diri dengan perbezaan gaya permainan, cuaca 4 musim dan komunikasi sebagai contoh utama yang mungkin sedikit melambatkan penyesuaian kedalam pasukan utama.
Seperti yang dinyatakan diatas, 3 buah kelab itu boleh memberikan satu peluang kepada pemain untuk beraksi dengan pasukan U23 mereka dalam saingan J3 League.
Sekurang-kurangnya, jika pemain itu tidak berjaya merebut tempat untuk pasukan utama dalam saingan J1 League, mereka masih memiliki tempat untuk membuktikan keupayaan mereka apabila beraksi di J3 League.
Masa bermain untuk pemain-pemain muda ini adalah penting untuk terus memaksimakan keupayaan mereka, terutama dapat berhadapan dengan pemain profesional lain dalam saingan kompetitif sebenar.
Pendedahan Dari Persekitaran Sesi Latihan Yang Hebat
Pasukan pasukan yang mempunyai skuad U23 beraksi dalam saingan J3 League, pada kebiasaannya akan menjalani latihan bersama-sama dan bukan dalam sesi yang berbeza.
Jika menyertai kelab-kelab tersebut, pemain muda kita akan berpeluang untuk turun berlatih dan menerima pendedahan yang lebih dari pemain-pemain berpengalaman di J1 League.
Ini adalah antara perbezaan yang paling ketara dengan kelab-kelab lain. Pemain akan sentiasa berada dalam persekitaran yang kondusif yang mampu membantu mencapai potensi masing-masing.
Peluang Diserap Ke Skuad Utama J1 League Lebih Mudah
Pemain dari 3 pasukan tersebut boleh diserap masuk/keluar dari pasukan utama ke skuad U23 pada bila-bila masa sahaja.
Oleh yang demikian, pemain mempunyai peluang untuk membuktikan kepada ketua jurulatih berdasarkan sesi latihan dan juga aksi sebenar mereka dalam saingan J3 League untuk diserap masuk ke skuad utama yang begitu kompetitif.
Ini tidak akan berlaku kepada kelab-kelab lain.
Status Malaysia Sebagai JLeague Partner Nations
J.League Partner Nations ini merupakan negara-negara yang telah menjalinkan kerjasama dari pelbagai segi dalam arena bola sepak bersama J League.
Negara-negara yang terlibat akan menerima tunjuk ajar, latihan, pendedahan dan sebagainya dari pihak J.League secara terus dalam usaha membangunkan bola sepak secara bersama.
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang diiktiraf sebagai ‘J.League Partner Nations’ sejak bulan Februari 2015.
Kelab-kelab J.League dibenarkan menandatangani 5 orang pemain import dari mana-mana negara dan tiada had untuk menandatangani pemain dari negara-negara berstatus J.League Partner Nations. Untuk setiap perlawanan, hanya 4 pemain import termasuk 1 pemain dari Asia.
Manakala bagi pemain berstatus J.League Partner Nations, mereka diiktiraf sebagai ‘pemain tempatan’ dan boleh diturunkan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada kuota pemain import yang boleh diturunkan seperti diatas.
2 Pemain Thailand Kini Bersama Skuad Cerezo Osaka U23
Semasa, 2 pemain dari Thailand sedang beraksi bersama skuad Cerezo Osaka U23 iaitu Tawan Khotrsupho dan Phongrawit Jantawong, kedua-duanya berusia 19 tahun dari kelab BG Pathum United.
Sebagai rekod, mereka telah didaftarkan bersama pasukan pada 17 Mac 2019 dan telah turun beraksi;
- Tawan Khotrsupho: 5 penampilan, 18 minit dan tiada gol.
- Phongrawit Jantawon: 6 penampilan, 199 minit dan 1 gol.
Walaupun mempunyai 2 pemain Thailand dalam skuad Cerezo Osaka U23, kita tidak perlu bimbang kerana mereka ini tidak akan dikira sebagai pemain asing.
Peluang Luqman Hakim untuk mendapat tempat di Cerezo Osaka boleh dikatakan cerah berdasarkan hubungan rapat diantara 2 individu penting yang akan merealisasikan perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan