
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Football League,Kevin Ramalingam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) muncul pasukan perintis kepada program penukaran padang apabila bekerjasama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membaikpulih padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Projek menambahbaik kualiti padang di stadium yang berkapasiti 50,000 itu diserahkan kepada RS Greenmaster dan ia dijangka disiapkan dalam tempoh empat bulan sekali gus berkemungkinan dapat digunakan pada kempen Piala Malaysia nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata program itu terbuka kepada semua pasukan dan mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada pihaknya sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M).
“TFC sentiasa memberikan sokongan baik kepada inisiatif yang cuba dilakukan MFL. Apa yang kita dapat lihat bahawa mereka melakukan satu usaha yang amat besar untuk struktur TFC bagi menjadi salah satu gergasi bola sepak Malaysia dalam jangka masa panjang.
“MFL berbangga dapat menyokong TFC sebagai perintis pada program MFL untuk memastikan kualiti padang bola sepak berada di tahap tertinggi sekali gus menggalakkan persembahan teknikal atas padang lebih baik dan jadi sesuatu yang membanggakan khususnya buat penyokong.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memberikan kerjasama baik bagi menjayakan program ini ,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ketika ini, pasukan TFC yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai gelanggang rasmi.
Kevin berharap projek bersama TFC itu dapat membuka mata lebih ramai pihak dalam usaha meningkatkan kualiti padang venue yang terbabit dalam Liga M.
“Saya berharap bila program ini berjaya, kita boleh perluaskan kejayaan ini kepada banyak lagi padang bola sepak di masa akan datang,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan