
Undian pusingan kedua Piala FA 2019. - NSTP/Owee Ah Chun
KUALA LUMPUR: Saingan pusingan kedua Piala FA 2019 akan mula membuka tirainya hari ini dengan 30 pasukan membabitkan 15 perlawanan bakal berentap sesama sendiri bagi merebut tiket ke pusingan ketiga.
Dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sudahpun mengesahkan tiket ke pusingan ketiga apabila mendapat 'bye', tumpuan pastinya terarah kepada kemampuan sembilan pasukan amatur yang berjaya menempatkan diri dalam pusingan kedua kali ini.
Bagaimanapun, lima pasukan amatur itu berdepan laluan sukar apabila diundi bertemu pasukan Liga Super yang menyaksikan penyandang juara, Pahang akan bertemu PIB FC; Batu Dua FC menentang PKNP FC; Tun Razak FC menentang Kuala Lumpur; Kuching FA bertemu FELDA United dan Ultimate FC menentang Terengganu FC (TFC).
Manakala dua lagi bakal berdepan tentangan pasukan dari Liga Perdana dengan Protap FC bakal menguji UKM FC sementara Penjara FC akan menentang Pulau Pinang.
Jadi, mungkinkah skrip sama akan berulang di mana pasukan Liga Super akan mudah mara ke pusingan ketiga ataupun ada pasukan amatur yang mampu mencipta kejutan untuk menjadi 'pembunuh gergasi'?
Dengan magis Piala FA kadangkala memungkinkan perkara tidak dijangka untuk berlaku, sudah tentu pasukan Liga Super tidak sepatutnya memandang ringan cabaran bakal dilontarkan pasukan berstatus amatur itu.
Ini kerana mereka tidak akan rugi apa-apa dan 'penghormatan' mendapat peluang menguji kehebatan pasukan Liga Super pasti akan membuatkan pemain mereka lebih berkobar-kobar dan memberikan segala yang terdaya.
Justeru, pasukan Liga Super perlu berhati-hati dan mungkin perlu menurunkan barisan terbaik mereka seandainya tidak mahu dimalukan pasukan amatur apatah lagi tiket ke pusingan ketiga menjadi pertaruhan.
Namun, satu pasukan amatur sekurang kurangnya sudah mengesahkan tiket ke pusingan ketiga apabila Jerantut FA diundi bertemu JBFA dan undian sekali lagi akan dijalankan pada pusingan ketiga bagi menentukan lawan masing masing.
Sementara itu, ketua jurulatih Tun Razak FC yang juga legenda bola sepak negara, Azman Adnan mengakui anak buahnya begitu menanti-nantikan aksi bertemu Kuala Lumpur dan menyifatkan pertembungan itu sebagai impian menjadi kenyataan.
"Barisan pemain saya begitu gembira kerana mereka memang mahu bertemu dengan pasukan Liga Super dan mahu merasai pengalaman itu. Bukan senang untuk mereka mendapat pengalaman ini apatah lagi beraksi di stadium besar.
"Pasukan ini beraksi dalam liga amatur M3 dan hanya berlatih tiga kali seminggu kerana mereka semua bekerja. Pada saya untuk sampai ke tahap ini adalah satu pencapaian yang baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan