Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 5 April 2019

Infantino bertemu PM

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino (tiga dari kiri) bergambar bersama

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino (tiga dari kiri) bergambar bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mengadakan kunjungan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (paling kanan), Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (dua dari kanan), Presiden JFA, Kohzo Tashima (paling kiri) dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR 5 April - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menerima kunjungan hormat daripada delegasi pemimpin bola sepak yang diketuai oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino di Putrajaya, hari ini.
Infantino diiringi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, di Pejabat Perdana Menteri.
Ia merupakan pertemuan rasmi pertama antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden FIFA sejak tahun 1960-an, apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj beberapa kali menerima kunjungan Stanley Rous.
Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kunjungan hormat itu disusuli majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara FAM dan JFA bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran.
MoU itu ditandatangani oleh Hamidin dan rakan sejawatannya dari JFA, Tashima, sehari menjelang Kongres AFC ke-69 di Kuala Lumpur.
Ia disaksikan oleh Syed Saddiq, Infantino dan Windsor.
MoU itu membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, bola sepak wanita dan futsal serta pertukaran pentadbiran berkaitan pengkomersialan dan penjanaan pendapatan.
Kata Hamidin, pihaknya amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama secara rasmi dengan JFA.
“Kami optimis MoU ini bukan hanya memperkukuhkan ikatan yang sedia wujud di antara kedua-dua negara, malah menjadi titik mula langkah penting dalam usaha berterusan kami memartabatkan bola sepak negara.
“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau malah kami yakin sebagai pemimpin yang memulakan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.
“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun pasti menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk kita belajar,” kata Hamidin. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan