Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 31 Mac 2019

Ikut garis panduan



KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akhirnya bangkit mempertahankan diri ketika badan induk itu dilabel berat sebelah dan menjadi punca kegagalan Malaysia ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23.
AFC dalam emel balasnya kepada Harian Metro menegaskan, format dan jadual perlawanan membabitkan 44 pasukan dalam 11 kumpulan pada kempen kelayakan Kejuaraan AFC B-23 yang berakhir Rabu lalu itu bukan dibuat sesuka hati dan dilangsungkan mengikut garis panduan yang terkandung dalam status pertandingan.
Malah, ia juga mendapat persetujuan semua negara bertanding sebelum bermulanya kejohanan termasuk aksi terakhir peringkat kumpulan yang menyaksikan pasukan dari Asia Barat hanya akan mula bermain lewat beberapa jam daripada negara yang berada di Asia Timur susulan kekangan perbezaan zon waktu.
Justeru, AFC menolak berlakunya isu berat sebelah yang didakwa sengaja memberi kelebihan buat negara dari Arab.
“Kejuaraan AFC B-23 berjaya dijalankan di 11 venue dan 16 pasukan teratas sudah mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan akhir di Thailand pada Januari tahun depan. Adalah perlu untuk AFC melangsungkan pusingan kelayakan itu dalam tempoh seminggu dan membabitkan tiga perlawanan setiap kumpulan bagi memastikan ia kekal dimainkan dalam kalendar perlawanan antarabangsa.
“Penyelarasan jadual untuk diadakan aksi secara serentak dilihat tidak realistik di AFC di mana terdapat banyak zon waktu. Malah, peraturan pertandingan dan format terkini kejohanan sudah dimaklumkan kepada semua pasukan sebelum bermulanya kejohanan termasuk pengiraan bagi pasukan kedua terbaik untuk menyertai pemenang setiap kumpulan ke pusingan akhir,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dikatakan menjadi mangsa format kejohanan apabila gagal melangkah ke pusingan akhir selepas aksi membabitkan tiga perlawanan di Asia Barat dilangsungkan lewat tiga jam.
Keadaan itu memberi kelebihan buat Syria, Arab Saudi dan Iran untuk sekadar memburu keputusan seri bagi menolak Malaysia keluar daripada kelompok empat pasukan naib juara terbaik kejohanan.
Situasi itu jelas menimbulkan rasa ketidakpuasan hati ramai pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan mengemukakan cadangan bagi menambah baik sistem dan format kejohanan terutamanya pusingan kelayakan AFC.
Sementara, AFC mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada ahli gabungan mengenai format kelayakan itu.
“AFC mengucapkan tahniah kepada finalis dan tidak menerima aduan mengenai kelayakan AFC B-23 daripada pasukan yang layak mahupun ahli gabungan yang lain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan