
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas mengadakan lawatan beliau di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
KUANTAN: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan keputusan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden Zon ASEAN pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-29, Sabtu ini bukan disebabkan kegagalan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara baru-baru ini.
Sebaliknya beliau berkata, ia bagi membolehkannya memberi tumpuan dan komitmen penuh terhadap FAM dan perancangan lain.
“Walaupun saya terima banyak pencalonan tetapi saya selalu cermin diri saya dan tengok komitmen. Sudah tentu keutamaan saya adalah FAM.
“Saya sudah bincang dengan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) saya dan buat masa ini saya tidak sesuai ke (jawatan) naib presiden maka saya pergi ke jawatan Exco itu pun kalau saya menang,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, di sini, hari ini.
Hamidin yang dipilih sebagai Presiden FAM pada Julai tahun lalu, akan merebut kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023.
Beliau berkata, keputusan itu tiada kaitan dengan kegagalan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk layak ke kejohanan AFC B-23 di Thailand tahun hadapan.
Sementara itu, beliau memaklumkan skuad bawah 23 tahun sudah melakukan yang terbaik untuk layak ke Thailand namun tidak mempunyai rezeki.
“Saya berpuas hati dengan corak permainan mereka. Tapi kadang kala dalam bola sepak kita perlu pasrah selepas kita sudah berusaha yang terbaik,” katanya.
Katanya, skuad itu akan memberi tumpuan kepada persiapan Sukan SEA di Filipina selepas ini dan menyasarkan ke perlawanan akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan