AL-SULTAN ABDULLAH berkenan menerima menghadap dan menerima jersi daripada Infantino di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat, Carlos Cordeiro dan Pengarah Persatuan Ahli Asia-Oceania, Sanjeevan Balasingam.
Pada pertemuan tersebut, Infantino turut menyampaikan ucapan terima kasih atas khidmat bakti Seri Paduka bersama Jawatankuasa FIFA dan juga mengucapkan tahniah atas perisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda telah berkhidmat bersama Jawatankuasa FIFA sejak tahun 2015 dan telah terlibat dalam bola sepak tempatan serta antarabangsa selama lebih dari tiga dekad.
Selepas itu, Infantino bersama delegasi turut melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Infantino diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin; Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ia merupakan pertemuan rasmi pertama antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden FIFA sejak 1960-an, ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menerima kunjungan hormat Stanley Rous.
Kunjungan hormat itu disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman antara FAM dan JFA bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia selain menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan serta pentadbiran.
Sementara itu, Infantino sentiasa menyokong usahasama berkenaan dan yakin kerajaan Malaysia boleh memberikan kerjasama baik kepada FAM.
“FIFA memperuntukkan AS$2 juta (RM8.18 juta) untuk membantu FAM dalam pembinaan pusat latihan moden dan canggih di Putrajaya.
“Kami percaya kerajaan Malaysia boleh menyumbang kepada FAM menerusi kerjasama yang baik dari segi infrastruktur, kewangan dan penajaan,” ujar Infantino.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan