KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee sudah mempunyai percaturan terbaik selepas merehatkan beberapa tonggak dalam kesebelasan utamanya sebelum berdepan China pada aksi terakhir Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Stadium Shah Alam malam esok.
Kim Swee tetap mengutamakan kemenangan berbanding jumlah jaringan ke atas Laos selepas skuad negara sekadar mencatatkan kemenangan tipis 1-0 pada aksi kedua kelmarin.
Jelasnya, beliau lebih mementingkan tiga mata pada dua perlawanan terdahulu berbanding untuk menang dengan jaringan besar memandangkan skuad kendalian Guus Hiddink sudah menjaringkan 13 gol apabila membenam Laos dan Filipina.
“Apa yang terbaik selepas berdepan Laos ialah kami berkongsi enam mata bersama China sebelum membuat perhitungan dengan pasukan bimbingan Hiddink itu.
“Kita perlu faham secara logik sebelum berdepan Laos iaitu sekiranya kita ingin merampas semula kedudukan China selaku pendahulu, Malaysia memerlukan 11 gol.
“Berbanding mengejar jumlah 11 jaringan itu, maka adalah lebih baik memberi fokus untuk memperoleh tiga mata.
“Jadi saya tidak perlu mengambil risiko dengan menurunkan pemain yang sudah bermain banyak kali sebelum berdepan pasukan China.
“Apa yang penting, kita berkongsi enam mata dengan China dan perlawanan menentang mereka nanti sudah pasti sengit,” katanya selepas berdepan perlawanan kelmarin.
Kim Swee menegaskan, pasukannya perlu melakukan persiapan yang sempurna memandangkan China mengharungi kempen Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 dengan begitu baik sekali.
“Sudah tentu kami memerlukan taktikal permainan yang terbaik kerana China sudah mengumpul 13 gol.
“Kita memerlukan perancangan sempurna kerana kita perlu tahu bahawa China merupakan pasukan yang lengkap di semua bahagian.
“Saya enggan memikirkan terhadap format pertandingan kerana matlamat kita ialah mendapatkan kemenangan. Justeru, saya menekankan supaya Harimau Malaya harus meraih tiga mata jika mahu layak secara automatik ke pusingan akhir,” ujarnya.
Berdasarkan format kejohanan, hanya 10 pasukan juara dan lima pasukan kedua terbaik daripada 10 kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Thailand pada Januari tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan