KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari sekurang-kurangnya seorang lagi pemain naturalisasi bagi membantu Malaysia mengharungi aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun depan.
Sebagai rekod, pemain sayap skuad Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi satu-satunya pemain naturalisasi yang dipilih mewakili skuad Harimau Malaya ketika ini.
Namun, ada beberapa nama pemain import yang dicadangkan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan tetapi segalanya akan diputuskan selepas perbincangan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pada mesyuarat Exco FAM yang akan berlangsung 30 Mac depan.
Cheng Hoe berkata, beliau tidak kisah mana-mana pemain dipilih untuk naturalisasi dalam skuad negara pada masa akan datang kerana paling penting pemain terbabit memiliki sikap positif serta mampu menyesuaikan diri.
“Saya tidak menolak jika ada seorang lagi pemain naturalisasi yang boleh menambah kualiti sedia ada buat skuad kebangsaan pada masa depan. Namun, pemain tersebut perlu mempunyai sikap baik untuk dijadikan contoh pemain-pemain muda.
“Bagi saya, khidmat pemain naturalisasi lebih kepada jalan penyelesaian jangka pendek. Bagaimanapun, kita juga memiliki perancangan jangka panjang memandangkan negara kita tidak ketandusan pemain-pemain muda yang berbakat,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Sementara itu, Cheng Hoe turut menyatakan skuad negara perlu mengalihkan tumpuan untuk mengharungi aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022 selepas hanya mencatat satu kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa bulan ini.
Pada kejohanan Piala Airmarine 2019, skuad Harimau Malaya berjaya bangkit menewaskan pasukan di ranking ke-147 dunia, Afghanistan dengan kemenangan 2-1 kelmarin selepas dikalahkan 0-1 oleh Singapura Rabu lalu.
“Di atas kertas pasukan negara hampir pasti beraksi pada saingan playoffkelayakan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung pada Jun depan. Kemungkinan besar kita akan berdepan kesukaran kerana saingan tersebut dijadualkan berlangsung pada musim perayaan.
“Ini kerana barisan pemain sudah tentu akan dikumpulkan pada bulan puasa yang mungkin akan menjejaskan sikit tumpuan mereka. Bagaimanapun, saya tetap positif dan kita mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat perancangan rapi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan