KETUA pasukan negara, Zaquan Adha Abd Radzak mengakui kecewa apabila mengetahui penyokong tegar Ultras Malaya memboikot Piala Airmarine 2019 sebagai tanda tidak berpuas hati dengan harga tiket yang dilabel mahal oleh penyokong Harimau Malaya itu.
Menurut Zaquan, sebagai seorang pemain profesional, sokongan padu peminat yang juga pemain ke-12 adalah sangat penting dalam menaikkan semangat dan motivasi pemain sepanjang 90 minit di atas padang.
Jelas pemain Kedah itu, dia berharap agar Ultras Malaya dapat mengubah keputusan itu dan hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menempuh aksi pertama menentang Singapura malam ini.
"Untuk saya sebagai seorang pemain sudah tentulah kecewa sebab kami bermain memerlukan semangat dan sokongan penyokong.
"Tapi apapun, saya berharap sesiapa saja yang hadir untuk Piala Airmarine ini berilah sokongan kepada kami kerana kami sememangnya perlukan sokongan penyokong kerana ia penting buat kami ketika bermain," katanya ketika ditemui pada sidang media pra perlawanan di Subang Jaya, hari ini.
Pada 14 Mac lalu, Arena Metro melaporkan luahan wakil Ultras Malaya, Alfadli Awaludin atau dikenali dengan panggilan Rambo yang mempertikaikan kewajaran harga tiket Piala Airmarine berharga RM35 sedangkan setiap aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ sebelum ini hanyalah berharga RM20.
Piala Airmarine yang sebenarnya adalah aksi persahabatan yang ‘diolah’ menjadi satu kejohanan turut mendapat kecaman Alfadli apabila mempersoalkan di manakah nilai tajaan yang diberikan Airmarine sebagai penaja utama kepada kejohanan itu.
Dalam perkembangan lain, Zaquan mahu rakan sepasukannya membuka kalender 2019 dengan langkah kanan apabila berdepan Singapura yang turut mengidamkan kemenangan di Bukit Jalil.
"Skuad kali ini ada 12 pemain baharu yang dipanggil di mana mereka ini turut pernah keluar masuk, jadi sebenarnya tak terlalu asing buat pasukan kebangsaan.
"Skuad kali ini ada 12 pemain baharu yang dipanggil di mana mereka ini turut pernah keluar masuk, jadi sebenarnya tak terlalu asing buat pasukan kebangsaan.
"Ia tak jadi masalah (keserasian) kepada pasukan, cuma saya titik berat kepada mereka adalah kita buka 2019 dengan buku baru.
"Apa yang dah berlaku pada tahun lalu di Piala AFF dah pun tutup buku," katanya yang membantu Malaysia ke pentas final Piala AFF sebelum tewas kepada Vietnam menerusi agregat 3-2 pada Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan