ONG KIM SWEE
KUALA LUMPUR 27 Mac - Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui, Malaysia hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23.
Bukan mahu mencari alasan namun pada masa sama, Kim Swee turut menggesa agar format pertandingan kelayakan kejohanan tersebut dapat diperhalusi oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya ‘fair play’ dapat diberikan kepada semua pasukan yang bertanding.
“Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri sebab kami tidak menjaringkan banyak gol ketika bertemu Laos dan kami terpaksa menerima hakikat tersebut. Kalau dapat dua atau tiga gol menentang Laos, mungkin keadaan berbeza. Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa sebaliknya diri sendiri yang salah.
“Rasa ralat tak perlu cakap. Jika kami tidak layak di peringkat kelayakan dekat Bangkok pada 2017 saya boleh terima sebab kami tewas kepada Thailand namun kali ini susah nak telan sebab kami tidak kalah. Kumpul tujuh mata tetapi tidak layak.
“Saya juga menggesa agar AFC dapat memperhalusi format pertandingan di peringkat kelayakan agar semua pasukan dapat diberi keadilan yang sama rata seperti aksi terakhir dapat diadakan pada waktu yang sama atau badan induk Asia itu boleh memikirkan cara yang lebih efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kegagalan layak ke pusingan akhir kejohanan menyaksikan peluang Malaysia untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020 tertutup rapat.
Selepas tamat aksi Malaysia seri 2-2 menentang China di Shah Alam semalam, skuad kebangsaan berjaya menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik di tempat kedua keseluruhan namun kedudukan berubah jatuh ketangga ketujuh setelah aksi kumpulan di Asia Barat tamat awal pagi tadi.
Berdasarkan format pertandingan, 11 juara kumpulan layak ke pusingan akhir diikuti empat pasukan terbaik di tempat kedua dan tuan rumah, Thailand. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan